KUALA LUMPUR 23 Feb - Keuntungan selepas cukai (PAT) Khind Holdings Bhd. (KHIND) susut 12.2% kepada RM24.98 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 berbanding RM28.45 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Penurunan ini disebabkan oleh keuntungan sekali saja daripada pelupusan tanah yang direkodkan dalam tahun sebelumnya, menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, pendapatannya dalam tempoh dikaji meningkat 20.9% kepada RM579.25 juta berbanding RM479 juta yang diraih dalam tempoh sama tahun lalu.
Prestasi lebih baik ini walaupun berdepan cabaran COVID-19, menyaksikan kumpulan meraih untung kasar RM185.98 juta dalam tempoh dikaji berbanding RM154.76 juta sebelumnya.
Jika tidak termasuk keuntungan sekali saja bagi pelupusan tanah, KHIND mencatat peningkatan ketara untung bersih iaitu kira-kira RM10.91 juta.
Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021, kumpulan merekodkan peningkatan 3.6% pendapatan kepada RM143.21 juta berbanding RM138.21 juta bagi tempoh sama 2020.
Sebaliknya, PAT kumpulan susut sedikit 1.8% kepada RM6.22 juta daripada RM6.23 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KHIND, Adil Jimmy Mistry berkata, kumpulan terus melihat pertumbuhan dalam semua segmen perniagaan terutama perdagangan & perkhidmatan dipacu permintaan kukuh peralatan elektrik kediaman.
Katanya, 3 jenama di bawah kumpulan iaitu KHIND, Mistral dan Mayer, diterima baik dalam pasaran.
"Dengan strategi yang betul pihak pengurusan, kumpulan dapat meraih prestasi yang baik dalam industri semasa wabak dan berada dalam aliran meningkat sejak 2020.
"Oleh itu, kami optimis sentimen pasaran akan bertambah baik terutama apabila sekatan pergerakan dilonggarkan, membolehkan kami mengembangkan perniagaan serantau dan melangkah lebih jauh dalam fasa pertumbuhan seterusnya," katanya. - DagangNews.com








