Keuntungan, pendapatan Top Glove merosot pada suku kedua | DagangNews Skip to main content

Keuntungan, pendapatan Top Glove merosot pada suku kedua

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Mac - Keuntungan bersih Top Glove Corp. Bhd. menjunam kepada RM87.55 juta bagi suku kedua berakhir 28 Februari 2022 berbanding RM2.87 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Pendapatan syarikat pengeluar sarung tangan getah itu bagi tempoh tersebut juga susut kepada RM1.45 bilion daripada RM5.37 bilion bagi tempoh sama tahun kewangan 2021, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Bagi tempoh 6 bulan berakhir 28 Februari 2022, untung bersihnya merosot kepada RM273.27 juta daripada RM5.23 bilion manakala pendapatan terus susut kepada RM3.03 bilion daripada RM10.12 bilion. 

 

Prestasi kewangan yang lemah ini disebabkan oleh harga jualan purata (ASP) yang semakin normal, menghampiri paras sebelum pandemik. 

 

Kos bahan mentah berada dalam aliran menurun, pada kadar yang lebih perlahan daripada ASP, mengakibatkan mampatan margin. 

 

Pada masa sama, kumpulan juga terpaksa berhadapan dengan kenaikan kos operasi termasuk utiliti, tenaga kerja dan kos kimia.

 

Persaingan yang semakin tegang, dengan bekalan sarung tangan baharu juga menyebabkan tekanan harga, berikutan kejayaan pelancaran vaksin COVID-19 di seluruh dunia.

 

 

Lee Kim Meow
Lee Kim Meow

 

 

Pengarah Urusan Top Glove, Datuk Lee Kim Meow berkata, walaupun prestasi suku kedua tidak kukuh
seperti diharapkan, tetapi ia berada dalam jangkaan apabila pandemik semakin mereda dengan menganggap ia adalah sebahagian kitaran perniagaan. 

 

“Apa yang penting bagi kami sekarang ialah untuk terus memberi tumpuan kepada kualiti dan kecekapan, menambah baik, berinovasi, melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), memanfaatkan teknologi canggih/digitalisasi dan melatih lebih ramai bakat yang baik, di samping memperdalam komitmen kami terhadap kelestarian. 

 

"Dengan semua ini tersedia dan kedudukan penyata imbangan yang baik, saya percaya kami mampu mengharungi tempoh yang mencabar ini dan muncul dengan lebih kukuh," jelasnya dalam kenyataan berasingan. 

 

Pada 28 Februari 2022, kumpulan mengekalkan kedudukan tunai bersih RM656 juta dan aset bersih RM6.95 bilion

 

Setakat September 2021, jualan ke Amerika Syarikat (AS) merangkumi 4% daripada jumlah jualan global kumpulan dan menjelang Februari 2022, ia telah meningkat kepada 13%. 

 

Selaras dengan itu, penggunaan pengeluaran kumpulan meningkat daripada 60% pada September 2021 kepada 73% pada Februari 2022.

 

Menurut beliau, memandangkan situasi bekalan semasa, kumpulan akan tetap berwaspada dan mengurangkan
rancangan pengembangannya untuk sementara waktu. 

 

"Kumpulan juga akan terus memantau keadaan dengan teliti dan bersedia mengembalikan semula rancangan pengembangan seperti yang diperlukan apabila permintaan meningkat," katanya.

 

Dalam perkembangan lain, Top Glove turut melantik 2 Pengarah Bebas Bukan Eksekutif baharu untuk menganggotai Lembaga Pengarahnya iaitu, Datuk Kong Sooi Lin dan Dr Ngo Get Ping. 

 

"Kami yakin pelbagai pengalaman dan kepakaran yang dibawa oleh mereka akan meningkatkan kekuatan
lembaga pengarah dan memainkan peranan penting dalam memajukan agenda pertumbuhan kumpulan," tambahnya. - DagangNews.com