KUALA LUMPUR 24 Feb - Syarikat pengurusan sisa, JAG Berhad (JAG) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM18.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY2021), meningkat 2 kali ganda daripada RM9 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Pendapatan bagi tempoh itu berjumlah RM223.9 juta, peningkatan ketara daripada RM159 juta yang dicatatkan setahun lalu.
Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021 (4QFY2021), kumpulan merekodkan PAT sebanyak RM4.6 juta berbanding RM3 juta, manakala pendapatan meningkat kepada RM66.2 juta berbanding RM44.3 juta bagi tempoh sama 2020.
Selaras dengan keputusan positif ini, JAG mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 0.05 sen sesaham biasa (peringkat tunggal) berjumlah RM3.13 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, yang perlu dibayar pada 25 Mac 2022.
Pengarah Eksekutif JAG, Datuk Ng Meow Giak berkata, prestasi kewangan kumpulan melonjak di sebalik harga komoditi yang kukuh dan permintaan semakin meningkat untuk e-waste (e-sisa) di peringkat tempatan dan global.
"Pada 2021, 74% daripada jualan bahagian pengurusan sisa kami disumbangkan oleh jualan tembaga, diikuti oleh logam berharga yang lain.
“Selain faktor luaran, usaha mampan kami, termasuk pemasangan panel solar tenaga hijau dan beralih kepada penggunaan gas untuk proses pemanasan telah menghasilkan penjimatan tambahan.
"Penjimatan ini akan direalisasikan tahun atas tahun dan akan memberi kesan positif kepada JAG dalam jangka panjang," katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, pada FY2021, kumpulan juga berjaya meningkatkan kontrak pembekal, yang dilihat akan terus mengekalkan kumpulan ke tahun kewangan baharu.
"Secara keseluruhan, kami berpuas hati dengan perkembangan kami dan yakin momentum ini akan berterusan ke tahun kewangan 2022,” tambahnya.
Meow Giak berkata, berdasarkan data MITI, sektor E&E dijangka mendapat permintaan yang tinggi dan ia memberi petanda yang baik, kerana kumpulan bergantung kepada sektor E&E untuk bahan e-sisa mentah.
"Walaupun kami menjangkakan 2022 akan mencabar akibat pandemik yang berterusan, kedudukan kewangan yang kukuh dan operasi yang pelbagai meletakkan kami dalam kedudukan baik untuk pertumbuhan," katanya. - DagangNews.com








