Ketidaktentuan jangka pendek boleh jejaskan prospek pemulihan Bank Islam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ketidaktentuan jangka pendek boleh jejaskan prospek pemulihan Bank Islam

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 2 Jun – RHB Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap Bank Islam Malaysia Bhd. dengan harga sasaran dikurangkan kepada RM2.80 daripada RM3.30 sebelum ini berikutan ketidaktentuan jangka pendek yang dilihat boleh melambatkan lagi prospek pemulihan kumpulan. 

 

Dalam nota kajian hari ini, firma itu turut mengekalkan pandangan konservatif selepas menyertai sesi taklimat dengan kumpulan yang diadakan semalam meskipun Bank Islam meraih manfaat daripada kenaikan kadar dasar semalaman (OPR). 

 

Menurutnya, kumpulan melihat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) sebagai pemulihan, dengan menetapkan sasaran bagi pulangan ke atas ekuiti (ROE) pada 10% dengan Cukai Makmur.

 

Bagaimanapun, katanya, kali ini, ia menekankan pemulihan mungkin berlaku pada separuh kedua 2022.

 

"Margin faedah bersih (NIM) dijangka sekitar 2.3 hingga 2.4%, dengan andaian kenaikan 25 mata asas (bp) tambahan dalam OPR untuk FY22, melalui pengurusan liabiliti yang proaktif untuk menurunkan kos dana dan jumlah akaun semasa dan simpanan serta akaun pelaburan urus niaga (CASATIA) dengan sasaran pertumbuhan 40%.

 

"Langkah-langkah telah diambil untuk memantau pemulihan pengeluaran pembiayaan, memandangkan persekitaran yang mencabar dan tambahan gangguan data di bawah LURA (tiada kemas kini diberikan pada sasaran pertumbuhan 8% tahun ke tahun). Kos kreditnya telah disemak kepada kurang daripada 35bp daripada 25 hingga 30bps," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam keputusan kewangan suku pertama baru-baru ini, firma itu juga terkejut dengan kerugian dagangannya sebanyak RM21.7 juta, yang mengheret turun pendapatan bukan pembiayaan bagi tempoh itu.

 

"Namun, pengurusan menyatakan bahawa penurunan itu adalah dalam jangkaan, memandangkan kurangnya peluang yang boleh diambil ke atas pelaburan berbanding suku pertama 2021, yang mana, pada ketika itu, OPR dijangka menurun," katanya.

 

Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022, untung bersih Bank Islam menyusut kepada RM105.92 juta berbanding RM158.71 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya disebabkan elaun bersih yang lebih tinggi untuk rosot nilai ke atas pembiayaan dan pendahuluan.

 

Bagaimanapun, pendapatan naik 0.4% kepada RM773.97 juta daripada RM770.92 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu.

 

Pendapatan berasaskan dana bersih meningkat 3.8% tahun ke tahun kepada RM477.78 juta kebanyakannya didorong oleh pendapatan lebih tinggi daripada pembiayaan.

 

Sementara itu, pendapatan bukan berasaskan dana menurun sebanyak 37.1% kepada RM45.34 juta kerana keuntungan bersih lebih rendah daripada penjualan aset kewangan pada nilai saksama dan kerugian bersih lebih tinggi daripada penilaian semula aset kewangan pada nilai saksama.

 

Mengambil kira semua faktor tersebut, RHB Research mengurangkan untung bersih Bank Islam antara 9 hingga 10% bagi FY22 hingga FY24.

 

"Anggaran konservatif kami ini terutamanya mengambil kira NIM dan pertumbuhan pembiayaan yang lebih rendah berbanding panduan diberikan kumpulan," katanya.

 

Setakat 11.39 pagi ini, harga saham Bank Islam kekal tidak berubah pada RM2.91 sesaham. - DagangNews.com