Ketidaktentuan dalam pasaran tenaga akan berterusan - laporan Petronas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ketidaktentuan dalam pasaran tenaga akan berterusan - laporan Petronas

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 19 Dis - Petronas menjangkakan ketidaktentuan dalam pasaran tenaga akan berterusan dan pemain industri perlu bertindak pantas terhadap perubahan dalam landskap tenaga dan menerima inovasi serta penyelesaian baharu ke arah masa depan rendah karbon.

 

Dalam laporan prospek aktiviti bagi 2023-2025, syarikat utiliti negara itu kekal positif terhadap prospek aktiviti penggerudian pelantar, perkhidmatan telaga dan bawah laut berikutan keperluan aktiviti baik pulih dan penyelenggaraan untuk mengekalkan integriti kemudahan luar pesisir. 

 

Naib Presiden Kumpulan Perolehan Petronas, Freida Amat berkata, kerjasama merentas industri adalah penting ketika industri tenaga bergerak ke arah memudahkan peralihan tenaga yang adil.

 

Katanya, Petronas komited untuk bekerjasama dengan rakan kerjasamanya industri mempercepatkan usaha untuk nyahkarbon operasi sebagai sebahagian daripada peralihan tenaga yang lebih luas.

 

"Peralihan kepada tenaga bersih perlu berlaku sekarang, untuk memenuhi landskap tenaga yang berubah-ubah yang diunjurkan menjelang 2050.

 

"Ini memerlukan kerjasama yang lebih besar dalam kalangan industri ke arah mencipta penyelesaian yang cekap untuk pengurusan kos yang lebih baik, mengutamakan pelanggan, penciptaan nilai dan penyelesaian yang inovatif.

 

"Langkah ini penting bagi mengelakkan kumpulan terlepas peluang untuk melalui peralihan tenaga dengan jayanya," katanya dalam laporan itu yang dikeluarkan hari ini.

 

Laporan itu menyediakan prospek hala tuju industri, permintaan dan ramalan aktiviti untuk tiga tahun akan datang yang turut menyentuh visi dan strategi Dasar Tenaga Negara 2022-2040 (DTN).

 

Ia bagi memacu penembusan tenaga boleh diperbaharui yang lebih besar termasuk mengoptimumkan campuran penjanaan kuasa, mengambil kira kemajuan teknologi yang pesat, melaksanakan pembolehubah fizikal dan pengawalseliaan untuk menampung kemajuan sistem kuasa serta meningkatkan kesalinghubungan sistem grid serantau dan antarabangsa.

 

Petronas mengiktiraf peluang dalam peralihan tenaga dan mahu memainkan peranan bagi mempercepatkan sasaran ke arah sifar bersih di rantau ini, menggunakan pengalaman dan capaiannya sebagai syarikat tenaga global.

 

Malah, ia menjadi syarikat minyak dan gas pertama di Asia Tenggara yang mengisytiharkan aspirasinya untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

 

Berdasarkan laporan itu, Petronas menyemak semula bilangan jam kerja yang diperlukan untuk penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian luar pesisir (MCM) kepada 11.88 hingga 12.3 juta pada 2023-2024, daripada 11.44-11.82 juta sebelumnya.

 

Selain itu, ia juga menyemak semula permintaan yang dijangkakan untuk bilangan pelantar dan unit kerja hidraulik (HWU) kepada 28, daripada 24 yang diramalkan tahun sebelumnya.

 

Laporan tersebut juga menggariskan 96 telaga yang akan digerudi pada 2023, selain daripada 21 telaga yang dirancang untuk aktiviti workover, yang menyaksikan 28 telaga akan menjalani proses 'plugging and abandonment' (P&A), turun daripada 40 yang diramalkan setahun lalu.

 

Pada masa sama, tinjauan aktiviti untuk fabrikasi struktur tetap luar pesisir juga bertambah baik kepada lapan hingga sembilan struktur pada 2023, diikuti oleh enam hingga 11 struktur pada 2024. - DagangNews.com