Kesihatan kewangan syarikat kekal teguh, SKS Airways mahu ambil tindakan undang-undang terhadap dakwaan palsu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kesihatan kewangan syarikat kekal teguh, SKS Airways mahu ambil tindakan undang-undang terhadap dakwaan palsu

KUALA LUMPUR 24 Nov - SKS Airways Sdn Bhd menegaskan pendirian bahawa kesihatan kewangannya kekal teguh, bertentangan dengan laporan yang disiarkan dan diedarkan di media sosial.

 

SKS Airways berkata pihaknya percaya ada individu memberikan maklumat yang salah kepada media dengan niat untuk memburukkan syarikat dan perniagaannya.

 

“Sebagai tindakan kepada dakwaan palsu ini, kami sedang mendapatkan pendapat undang-undang untuk mengeluarkan surat pemberhentian kepada organisasi media tertentu untuk kenyataan palsu dan tidak bertanggungjawab terhadap SKS Airways yang telah mencemarkan reputasi dan kredibiliti syarikat kami dalam pasaran.

 

"Kami berhak untuk mengambil tindakan yang perlu sekiranya mereka terus membuat atau mengulangi sebarang kenyataan fitnah dibuat terhadap SKS Airways," kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan.

 

SKS Airways berkata pihaknya berhak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu termasuk cybertrooper yang menyebarkan berita palsu di platform media sosial, serta telah mengenal pasti beberapa pihak dan akan meneruskan tindakan undang-undang sewajarnya.

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: SKS Airways berdepan masalah pembiayaan pajakan pesawat, Dzuleira lepaskan jawatan CEO

 

 

"Sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, kami menekankan penglibatan yang berterusan dan tepat pada masanya dengan pihak berkepentingan kami dan oleh itu, kami mengalu-alukan pihak berkepentingan kami untuk menghubungi kami untuk mendapatkan maklumat rasmi dan terkini serta kemas kini berkaitan SKS Airways.

 

"Kami akan terus menjalankan perniagaan kami dengan standard perkhidmatan dan profesionalisme tertinggi. 

 

"Kami berterima kasih kepada pemegang kepentingan kami atas sokongan dan kepercayaan berterusan mereka terhadap SKS Airways," tambahnya.

 

Pada 20 November, Business Times telah memetik sumber dalaman yang menyatakan bahawa SKS Airways berdepan masalah pembiayaan pajakan pesawat.

 

Sumber itu turut mendakwa syarikat itu dipercayai sudah menghentikan operasi penerbangan ke Pulau Tioman dan Pulau Redang sejak bulan lepas namun tidak jelas sama ada pemberhentian operasi adalah sementara atau kekal.

 

Dua hari selepas sumber itu mendedahkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu dilantik, Dzuleira Abu Bakar dipercayai sudah melepaskan jawatannya, SKS Airways mengumumkan perletakan jawatan beliau pada 10 November lalu. - DagangNews.com