Kerugian Top Glove diunjur meningkat lebih 2 kali ganda kepada RM349.6 juta pada FY23 - AmInvestment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerugian Top Glove diunjur meningkat lebih 2 kali ganda kepada RM349.6 juta pada FY23 - AmInvestment

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 16 Jan - AmInvestment Bank mengekalkan saranan 'beli' terhadap Top Glove Corp. Bhd.  dengan nilai wajar tidak berubah pada 60 sen sesaham selepas menyemak semula unjuran kerugiannya. 

 

Firma itu kini meningkatkan unjuran kerugian Top Glove bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2023 (FY23) sebanyak 2.6 kali kepada RM349.6 juta berikutan anggaran kadar penggunaan loji yang lebih rendah daripada jangkaan pada Disember 2022 dan Januari 2023. 

 

Namun, ia mengekalkan jangkaan hasil bagi FY24 hingga FY25 memandangkan permintaan kemungkinan meningkat pada pertengahan tahun ini.

 

Menurutnya, permintaan sarung tangan getah perubatan dari China tidak meningkat di sebalik kenaikan kes jangkitan COVID-19 kerana negara itu mempunyai bekalan yang masih banyak daripada mencukupi untuk memenuhi permintaan domestik.

 

"Ini menyaksikan kadar penggunaan kilang kekal lembap pada Disember 2022 dan Januari 2023 sekitar 25%, menyamai suku pertama FY23. 

 

"Ia adalah lebih rendah daripada panduan 40% yang dijangkakan kumpulan dalam taklimat bersama analisis baru-baru ini. Oleh itu, kami percaya kerugian pada suku kedua akan datang ini akan menyamai suku pertama," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam pertemuan dengan pengurusan baru-baru ini, Top Glove juga menjangkakan pelanggannya akan mula menambah stok pada suku kedua 2023, konsisten dengan panduan yang diberikan Hartalega Holdings Bhd.

 

Secara dasarnya, industri sarung tangan getah perubatan mengalami lebihan bekalan selepas pandemik H1N1, terutamanya pada 2011.

 

Walaupun tidak banyak aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A) ketika itu, lebihan bekalan telah diselesaikan dengan pembubaran beberapa pemain kecil. 

 

Menjelang Disember 2025, Top Glove akan mengekalkan kapasiti sasarannya sebanyak 115 bilion keping setahun daripada 100 bilion pada masa ini.

 

Syarikat pengeluar sarung tangan itu juga menyasarkan untuk menghentikan dua kilang lama dan tidak cekap (5% daripada kapasiti semasa).

 

"Kami melihat keputusan ini (menghentikan operasi kilang) adalah positif kerana ia akan mengurangkan kos pengeluaran dan meningkatkan sedikit dinamik bekalan permintaan dalam industri," jelasnya.

 

Setakat 11.48 pagi, harga sahamnya menokok 4 sen atau 4.85% kepada 86.5 sen dengan 24.63 juta saham diniagakan. - DagangNews.com