KUALA LUMPUR 14 April - airasia Super App terus memperkukuh kedudukannya sebagai salah satu ejen pelancongan dalam talian (OTA) terkemuka ASEAN melalui kerjasama dengan Trip.com, salah satu ejen pelancongan dalam talian terkemuka di dunia, dan tersenarai di bawah NASDAQ dan Bursa Saham Hong Kong (HKEX) sebagai Trip.com Group.
Kerjasama dua jenama pelancongan terkemuka ini bakal membolehkan airasia Super App untuk mengakses lebih 1.2 juta hotel dari 200 negara dan wilayah yang akan ditambah ke dalam senarai inventorinya, seterusnya menawarkan lebih banyak pilihan dan nilai kepada pelancong untuk melengkapkan rancangan perjalanan mereka.
Sempena pengumuman kerjasama ini, airasia Super App menawarkan diskaun 10% untuk semua tempahan hotel di semua negara yang tersedia dengan kod promosi AATRIP10 mulai hari ini hingga 17 April 2022. Para tetamu boleh menekan ikon ‘Hotel’ pada airasia Super App untuk mula membuat tempahan.
Ketua Pegawai Eksekutif airasia Super App, Amanda Woo berkata, industri pelancongan kini kembali berkembang di seluruh rantau ini dan pihaknya amat berbangga untuk bekerjasama dengan Trip.com dalam menyediakan tawaran terbaik kepada pengguna airasia Super App.
"Melalui kerjasama ini, keupayaan kami sebagai agensi pelancongan dalam talian bukan sahaja akan diperluaskan dengan ketara melalui kepakaran Trip.com dalam inovasi teknologi industri pelancongan, malah membolehkan kami menawarkan pilihan dan kemudahan yang lebih lancar dan baik kepada para pelanggan.
"Kami akan terus memanfaatkan kekuatan kami sebagai sebuah syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka dan data yang telah kami bina sejak dua dekad lalu untuk membolehkan kami memahami pengguna dengan lebih baik.
"Selain itu, kerjasama ini pastinya akan mengukuhkan lagi ekosistem perjalanan kami dan kami akan berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua pengguna airasia Super App yang baharu dan sedia ada dengan memberikan lebih banyak tawaran perjalanan melalui kerjasama dengan Trip.com," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Unit Perniagaan Penerbangan Trip.com Group, Yudong Tan pula berkata, kumpulan berbesar hati untuk bekerjasama dengan airasia untuk menyokong pertumbuhan pasaran pelancongan di seluruh rantau ini.
"Melalui gabungan teknologi airasia dan Trip.com serta pengguna yang lebih ramai, kami kini mampu menyediakan lebih 1.2 juta pilihan penginapan tambahan kepada pelancong melalui airasia Super App. Trip.com berbangga untuk memulakan fasa pertumbuhan baharu melalui kerjasama ini, dan akan terus berusaha untuk menghubungkan para pelancong dan produk ke seluruh dunia," katanya.

airasia Super App baru-baru ini telah mengumumkan kerjasama dengan beberapa jenama terkemuka lain seperti MG Group, WebBeds, Travelport dan terkini Trip.com ke dalam platform agensi pelancongan dalam taliannya.
Kerjasama tersebut adalah sebagai sebahagian daripada strategi berterusan untuk menjadi ejen pelancongan atas talian terkemuka dan sebagai aplikasi perjalanan dan gaya hidup pilihan di rantau Asean.
Pihak yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada ejen pelancongan dalam talian di platform airasia Super App boleh menghubungi [email protected]. - DagangNews.com








