Kerjasama swasta, GLC perkasa TVET bantu graduan penuhi keperluan industri - MBOT | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerjasama swasta, GLC perkasa TVET bantu graduan penuhi keperluan industri - MBOT

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Mac - Pengumuman kerajaan mengenai kerjasama dengan sektor swasta terutamanya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) mampu membantu graduan memenuhi keperluan industri seterusnya dibayar secara setimpal, kata Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).

 

Presiden MBOT, Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir berkata, ia adalah tindakan serampang dua mata untuk kerajaan memanfaatkan sumber dan kemudahan yang ada.

 

Beliau berkata, pihaknya berpandangan bahawa polisi dan pendekatan kerajaan dalam Belanjawan 2023 adalah tindakan yang tepat pada masanya. 

 

"Kita harus meningkatkan penglibatan bakat-bakat TVET dalam rantaian nilai industri yang lebih tinggi sekiranya kita mahu menjadi sebuah negara maju dalam masa terdekat. 

 

"Inisiatif ini juga harus diperluaskan dalam bidang-bidang 'deep technology' seperti bahan termaju, kepintaran buatan, dan data raya," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Siti Hamisah, secara keseluruhannya, inisiatif-inisiatif yang akan dijalankan ini dijangka dapat membangunkan bakat-bakat tempatan dengan memanfaatkan sumber kerajaan dan negara lebih optimum serta bersifat progresif.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, dalam menuju ke arah negara maju, para teknologis dan juruteknik perlulah diberi perhatian sewajarnya memandangkan sudah terdapat trend khususnya golongan muda memilih berhijrah ke negara-negara lain seperti Arab Saudi, Singapura dan Australia. 

 

 

MBOT
                            Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir

 

 

Katanya, sekiranya perkara ini tidak ditangani, tidak mustahil negara akan mengalami krisis untuk membangunkan industri dan teknologi tempatan. 

 

"Perkara ini juga disahkan dalam satu kajian yang dijalankan oleh sebuah syarikat perunding sumber manusia terkemuka yang mendedahkan 72% pekerja muda Malaysia mempertimbangkan untuk bekerja di luar negara.

 

"Ia berikutan atas sebab-sebab seperti kekurangan pembangunan kerjaya, kekurangan penghargaan atau pengiktirafan, kekurangan peluang latihan, ketiadaan kenaikan gaji, masalah pengurusan, berasa 
mereka bekerja terlalu kuat dan kekurangan fleksibiliti," katanya.

 

Terdahulu, MBOT menyambut baik komitmen kerajaan untuk terus memperkasa TVET melalui inisiatif yang dibentangkan dalam Belanjawan 2023 pada Jumaat lepas.

 

Belanjawan 2023 menyatakan walaupun kadar kebolehpasaran graduan TVET adalah 90%, namun mereka meraih gaji kurang daripada RM2,000 sebulan. 

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa semua pihak termasuk majikan di sektor awam dan swasta supaya memainkan peranan untuk memastikan para graduan dibayar dengan gaji yang lebih setara dengan kemahiran yang dimiliki. 

 

Penekanan oleh Perdana Menteri terhadap kepentingan pulangan atas pelaburan sebanyak RM6.7 bilion dalam sektor TVET wajar diberi perhatian supaya ia dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pihak termasuklah majikan, institusi latihan TVET dan graduan sendiri. - DagangNews.com