Kerjasama KPMG dan MDEC bantu galak pertumbuhan syarikat pemula jadi unicorn menjelang 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerjasama KPMG dan MDEC bantu galak pertumbuhan syarikat pemula jadi unicorn menjelang 2025

Dari kiri, mewakili MDEC, Balasubramaniam Arunasalam, Gopi Ganesalingam dan dari kanan, mewakili KPMG, Ubaid Mustafa Qadiri dan Datuk Johan Idris pada majlis memeterai kerjasama kedua-dua pihak.

KUALA LUMPUR 14 Mac - Firma perkhidmatan profesional global, KPMG menjalin kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi menggalakkan pertumbuhan 20 syarikat start-ups dalam bidang teknologi yang berpotensi tinggi untuk menjadi syarikat unicorn menjelang 2025.

 

Rakan Kongsi Pengurusan KPMG di Malaysia, Datuk Johan Idris berkata, Malaysia sebagai mempunyai semua ramuan yang sesuai untuk syarikat teknologi berkembang disokong oleh infrastruktur moden, dasar progresif untuk perniagaan dan tenaga kerja mahir. 

 

“Terdapat potensi besar untuk syarikat tempatan berkembang di luar sempadan kita dan dikenali di peringkat global.

 

“KPMG akan memainkan peranan kami bekerjasama rapat dengan MDEC untuk membantu 20 syarikat pemula berpotensi tinggi ini mencapai potensi sebenar mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Kerjasama ini menunjukkan sokongan KPMG terhadap program Founders Centre for Excellence (FOX) 

MDEC yang dipandu oleh inisiatif strategik baharu Malaysia Digital (MD), bertujuan untuk mengembangkan kapasiti dan keupayaan digital negara.

 

Program Fox bertujuan untuk meningkatkan nilai ekosistem keseluruhan, dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital dan menjadikan Malaysia sebagai hab digital Asean.

 

Objektif bersama adalah untuk memupuk pertumbuhan syarikat permulaan dalam tempoh dua tahun akan datang supaya mereka dapat mengembangkan perniagaan mereka dan menghasilkan impak ekonomi yang berkekalan untuk Malaysia dalam bentuk penciptaan pekerjaan bernilai tinggi, hasil dan eksport.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Ts. Mahadhir Aziz berkata, objektif MDEC adalah untuk mengembangkan lima unicorn di peringkat global dengan menumpukan pada strategi serampang dua mata  iaitu program pembinaan keupayaan dan peningkatan pengasas teknologi yang ingin mempercepatkan pertumbuhan mereka menjelang 2025.

 

“Kami yakin kerjasama MDEC dengan KPMG akan memberi manfaat kepada kira-kira 20 syarikat pemula dengan memberikan mereka pengetahuan, alatan dan sokongan yang betul sejajar usaha membantu pertumbuhan perniagaan mereka,” katanya.

 

Tambahnya, kejayaan membantu perintis yang terpilih menerusi program Fox itu akan memberi inspirasi kepada generasi usahawan di Malaysia. - DagangNews.com