Kerjasama Finworld, MMU bakal lahirkan profesional dalam bidang kewangan | DagangNews Skip to main content

Kerjasama Finworld, MMU bakal lahirkan profesional dalam bidang kewangan

Simon Liao (dua dari kanan) dan Profesor Dato Dr. Mazliham Mohammad Su'ud (tiga dari kiri) bersama Pensyarah Profesional MMU, Dr Ridzwan Bakar (kiri), Dekan Fakulti Pengurusan MMU, Dr Mohd Fairuz Ab Rahim (dua dari kiri), dan Ketua Pegawai Operasi Finworld, Janice ketika majlis menandatangani MoU antara Finworld dan MoU, baru-baru ini.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Feb - Finworld Technology menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Multimedia (MMU) yang akan memberi akses kepada pelajar MMU kepada perisian untuk menganalisis data pasaran saham yang disediakan platform penyelesaian pelaburan itu.

 

Menggunakan platform pintar data dan analisis industri secara langsung, kerjasama strategik itu akan melengkapkan bakal graduan kewangan dengan kemahiran yang relevan untuk berkembang maju dalam bidang pelaburan kewangan, perbankan, pemerolehan dan pengurusan aset.

 

Finworld akan menyediakan akses penuh kepada perisian analisis data pasaran saham mereka yang sesuai untuk pelajar kewangan, perniagaan dan perakaunan di Fakulti Pengurusan MMU. 

 

Selain itu, pelajar akan dapat menggunakan perisian itu untuk belajar secara langsung daripada penyelesai Finworld yang disokong industri kepada masalah dunia sebenar, terutama dalam pasaran ekuiti termasuk analisis asas, teknikal, pemain besar dan kuantitatif.

 

 

finworld x mmu

 

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Finworld, Simon Liau berkata, melalui kerjasama itu, pihaknya berhasrat untuk menterjemahkan dunia kewangan ke dalam bilik kelas bagi menyempurnakan bakat masa hadapan Malaysia dengan kemahiran praktikal, pemahaman dan kecekapan yang mereka perlukan untuk cemerlang dalam bidang yang kompetitif ini.

 

"Di bawah kerjasama ini dan perkongsian kemudahan universiti, beserta khidmat runding Finworld selama tiga tahun dan geran penyelidikan sebanyak RM30,000, ia akan memberi peluang pembelajaran berasaskan pengalaman yang diperlukan untuk mengubah teori kewangan kepada amalan profesional.

 

"Kajian ini akan tertumpu kepada pasaran ekuiti dan pelaburan patuh syariah di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MMU, Profesor Datuk Dr. Mazliham Mohammad Su'ud berkata, kerjasama antara Finworld dan MMU adalah cara untuk mencapai matlamat yang bercita-cita tinggi iaitu mendidik pelajar dengan persekitaran pembelajaran dunia nyata dan menarik seperti yang akan dihadapi di alam pekerjaan.

 

"Saya juga yakin segala aktiviti yang dimeterai melalui MoU ini akan meningkatkan keyakinan pelajar dalam mengemudi landskap kewangan yang kompleks," katanya.

 

Selain MMU, Finworld juga sedang bekerjasama dalam inisiatif serupa dengan universiti tempatan lain seperti Universiti UCSI, Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR). – DagangNews.com