KUALA LUMPUR 25 Jan - Beberapa agensi kerajaan termasuk Kementerian Ekonomi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sedang merangka strategi baharu sebagai 'quick win solution' kepada isu kos sara hidup yang akan diumumkan dalam waktu terdekat.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, langkah untuk jangka panjang juga sedang diteliti bagi membolehkan jaminan bekalan makanan untuk memenuhi permintaan dan seterusnya membantu mengawal kenaikan harga.
Beliau berkata, pelbagai usaha lain juga telah dilaksanakan untuk mengawal harga di semua restoran dan gerai makanan di seluruh negara, namun terdapat cabaran daripada sudut pelaksanaan pemantauan disebabkan kapasiti pegawai penguat kuasa KPDN yang terhad.
Jelasnya, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah melancarkan OpenDOSM NextGen pada 12 Januari 2023, iaitu platform data yang berkaitan dengan statistik rasmi yang diterbitkan oleh DOSM dan agensi kerajaan lain.
"Platform ini turut mengandungi 28 juta data harga barangan di pelbagai lokasi di seluruh negara daripada aplikasi PriceCatcher yang dibangunkan oleh KPDN.
"Data PriceCatcher yang diterbitkan merupakan data terkini dengan selang waktu satu hari. Kerajaan mengharapkan penerbitan data ini dapat membantu pengguna membuat pilihan yang lebih tepat, dan seterusnya menjadikan permintaan lebih anjal di samping mengawal kenaikan harga," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Rafizi, sepertimana yang diumumkan oleh DOSM pada Jumaat lepas, kadar inflasi pada Disember 2022 mereda kepada 3.8% berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Beliau berkata, bagi keseluruhan tahun 2022, inflasi Malaysia adalah 3.3% seperti yang diunjurkan oleh Kementerian Kewangan dalam Laporan Tinjauan Ekonomi 2023.
Jelas beliau, perbandingan bulan ke bulan pula menunjukkan inflasi bagi Disember 2022 mencatatkan peningkatan 0.2%, yang mana lebih rendah berbanding 0.3% pada November 2022.
"Semua komponen utama Indeks Harga Pengguna (IHP) menyederhana kecuali komponen Restoran & Hotel dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain," katanya.
Selain itu katanya, peningkatan harga makanan dan minuman di luar rumah, terutamanya di restoran dan hotel adalah penyumbang utama kepada kadar inflasi.
Tambah beliau, usaha mengawal inflasi memerlukan kerjasama semua pihak, daripada kerajaan, peniaga sehinggalah kepada rakyat.
"Sepertimana yang disebutkan sebelum ini, kerajaan ingin mengingatkan bahawa pengguna boleh memainkan peranan dalam bersama-sama menyuntik keanjalan di antara permintaan dan bekalan demi mengawal inflasi," katanya. - DagangNews.com








