Kerajaan setuju laksana MRT 3, tambah baik Lebuh Raya Pan Borneo, projek tebatan banjir - PM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan setuju laksana MRT 3, tambah baik Lebuh Raya Pan Borneo, projek tebatan banjir - PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 Mac -  Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini telah bersetuju untuk melaksanakan projek Mass Rapid Transit 3 (MRT 3) serta menambah baik pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sabah, Sarawak dan projek tebatan banjir.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keutamaan akan diberikan kepada kontraktor tempatan terutamanya Bumiputera bagi menjana peluang perniagaan serta peluang pekerjaan untuk Keluarga Malaysia. 

 

Beliau berkata, ini akan memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi, khususnya objektif kerajaan untuk terus memperkasakan sektor perniagaan, serta mencipta 600,000 pekerjaan pada tahun ini.

 

"Kerajaan telah mengambil keputusan untuk meluluskan pelaksanaan projek MRT 3 yang akan melengkapkan infrastruktur pengangkutan awam sedia ada di Lembah Klang dengan menyediakan perkhidmatan yang bersepadu, mampu bayar dan lancar untuk Keluarga Malaysia.

 

"Berhubung LPB, Fasa Pertama LPB Sabah sedang giat dilaksanakan dan melibatkan 15 pakej di mana kemajuan kerja setakat ini telah mencapai 52% dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Oktober 2024. 

 

"Bagi menambah baik lingkaran jalan untuk Keluarga Malaysia di Sabah, kerajaan bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan 19 pakej kerja tambahan yang akan melibatkan jajaran sepanjang 367 kilometer dengan tempoh pembinaan selama 5 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Ismail Sabri berkata, Fasa Pertama LPB Sarawak pula akan melibatkan jajaran 786 kilometer (km) dan telah mencapai 78% kemajuan kerja setakat ini. 

 

"Bagi melengkapi LPB Sarawak, kerajaan turut bersetuju untuk melaksanakan projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB)," katanya.

 

 

PM
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

Berhubung dengan projek tebatan banjir, beliau berkata, kerajaan pada masa ini menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM1 bilion setahun di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12). 

 

"Mengambil kira fenomena banjir Monsun Timur Laut 2021/2022 yang serius sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda, Jemaah Menteri telah memutuskan untuk meningkatkan dan menyegerakan projek tebatan banjir dengan tambahan perbelanjaan sebanyak RM15 bilion untuk tempoh tahun 2023 sehingga 2030," katanya.

 

 

MRT

 

 

Beliau berkata, pelaksanaan projek infrastruktur berimpak tinggi di Semenanjung, Sabah dan Sarawak merangkumi pembinaan rel bersepadu dan lebuh raya serta projek tebatan banjir akan memangkin pembangunan ekonomi serta menyumbang kepada daya saing negara dan kesejahteraan rakyat. 

 

 

PAN BORNEO
Lebuh Raya Pan Borneo 

 

 

Katanya, keputusan melaksanakan projek-projek tersebut mencerminkan keprihatinan kerajaan bagi menyediakan pelbagai peluang bagi Keluarga Malaysia dan mengukuhkan momentum pemulihan ekonomi negara. - DagangNews.com