Kerajaan senarai hitam majikan abai kebajikan pembantu rumah asing | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan senarai hitam majikan abai kebajikan pembantu rumah asing

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Feb - Kerajaan akan menyenarai hitam mana-mana majikan yang didapati terlibat dalam menidakkan hak-hak pembantu rumah asing dengan tidak membayar gaji mereka.

 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, beliau tidak akan berkompromi dengan majikan yang mengambil kesempatan ke atas pembantu rumah asing, sekali gus mereka tidak dapat menggajikan pembantu rumah asing lagi pada masa akan datang.

 

"Saya memandang serius dan prihatin dengan isu kebajikan pembantu rumah asing yang berada di negara ini. Sungguhpun mereka dikategorikan sebagai pekerja dalam sektor tidak formal, mereka juga mempunyai hak sebagai pekerja dan kebajikan mereka wajar dijaga dengan baik. 

 

"Malah, kontrak pekerjaan pembantu rumah asing juga turut menggariskan tanggungjawab majikan yang menggajikan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Saravanan, kejadian kes-kes penganiayaan terhadap pembantu rumah asing sungguhpun terpencil namun ianya telah menjejaskan imej dan nama baik negara. 

 

"Contoh terbaharu adalah laporan dalam satu portal media yang menyatakan seorang pembantu rumah warga Indonesia tidak dibayar gaji meskipun telah berkhidmat selama 12 tahun.

 

"Perkara ini juga turut menjejaskan usaha Kerajaan dalam memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) Penggajian Pembantu Rumah Asing dengan Negara Sumber seperti Indonesia dan Kemboja. Isu sebegini jugalah yang telah menyebabkan MoU dengan kerajaan Indonesia tertangguh dan tidak diperbaharui sejak tahun 2016," katanya.

 

Tambah beliau, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri juga akan terus bekerjasama rapat menerusi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia termasuk Sabah serta Sarawak dan Jabatan Imigresen untuk menangani isu-isu sebegini.

 

 

sara
Datuk Seri M. Saravanan

 

 

Sehingga 31 Januari 2022, jumlah keseluruhan pekerja warga asing adalah sebanyak 1,157,481 orang di mana jumlah pembantu rumah asing adalah 86,084 orang. 

 

Majoriti pembantu rumah asing adalah dari Indonesia (59,605) diikuti dengan Filipina (22,803), Vietnam (1,031), Kemboja (976) dan lain-lain. - DagangNews.com