Kerajaan salur RM20.95 bilion bagi Program Subsidi Upah setakat 12 Ogos 2022 - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

Kerajaan salur RM20.95 bilion bagi Program Subsidi Upah setakat 12 Ogos 2022 - Tengku Zafrul

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Sept - Kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM20.949 bilion kepada 357,952 majikan melalui Program Subsidi Upah (PSU) bagi mengekalkan penggajian 2.96 juta pekerja tempatan, setakat 12 Ogos 2022.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Tengku Abdul Aziz berkata, usaha bagi mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pekerja tempatan juga menyaksikan sejumlah 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaat PSU di bawah pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

 

Beliau berkata, permohonan subsidi upah yang diluluskan telah mencapai sebanyak RM12.958 bilion.

 

"Sejumlah RM1.408 bilion menerusi PSU 2.0 di bawah Pakej Kita PRIHATIN telah disalurkan kepada 81,165 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan pengajian bagi 719,294 pekerja.

 

"Manakala, PSU 3.0 di bawah Belanjawan 2021 pula meliputi RM3.788 bilion telah disalurkan kepada 162,319 majikan untuk mengekalkan penggajian bagi 1.53 juta pekerja," katanya dalam Laporan Kewangan Rakyat ke-109 yang dikeluarkan hari ini.

 

Menurut Tengku Zafrul, PSU 4.0 di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) telah menyalurkan sebanyak RM2.584 bilion kepada 164,019 majikan untuk terus beroperasi untuk mengekalkan penggajian 1.93 juta pekerja.

 

"PSU di bawah Bajet 2022 membabitkan RM221.580 juta telah disalurkan kepada 8,060 majikan dan mengekalkan penggajian 124,559 pekerja," katanya.

 

 

mof
Tengku Datuk Seri Tengku Abdul Aziz

 

 

Beliau berkata, setakat 21 Ogos 2022, sebanyak 207,192 Orang Bekerja Sendiri (OBS) telah mencarum dengan jumlah kutipan keseluruhan sebanyak RM49.474 juta menerusi menerusi SPS Padanan Caruman yang dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

 

Menurutnya, setakat 19 Ogos 2022, program KPT-CAP (Career Advancement Programme) telah berjaya menempatkan 5,832 graduan bagi tahun ini. 

 

"Dalam usaha kerajaan untuk menangani isu graduan menganggur, kerajaan telah melanjutkan inisiatif KPT-CAP bagi tahun 2022 dengan sasaran untuk menawarkan 20,000 peluang pekerjaan kepada golongan graduan bagi tahun 2022," katanya.

 

Tambahnya, seramai 5,960 belia baharu telah berjaya ditempatkan dengan menggunakan Insentif Penggajian JaminKerja Perkeso khusus buat golongan perantis, bagi tempoh sama. - DagangNews.com