KUALA LUMPUR 25 Jan - Kerajaan perlu menerajui inovasi dengan penyelidikan berskala besar yang dibiayai kerajaan berikutan langkah sedemikian menyokong industri tertentu dan mempunyai kesan limpahan kepada rantaian bekalan tempatan, membolehkan syarikat memanfaatkan teknologi yang dipertingkatkan.
Pengarah Penyelidikan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) Suraya Ismail berkata syarikat yang mendapat manfaat daripada teknologi yang dipertingkatkan akan membantu rantaian ke hadapan dan rantaian ke belakang dalam rantaian bekalan domestik.
“Perkembangan yang logik ialah syarikat (akan) lebih bersedia untuk rantaian nilai global baharu selepas pandemik COVID-19,” katanya pada sesi pertama Forum Tinjauan Ekonomi dan Strategik Malaysia (MESOF) 2022 hari ini.
MESOF merupakan acara utama KSI Strategic Institute for Asia Pacific yang diadakan pada bulan Januari setiap tahun untuk memberi penggubal dasar, peneraju korporat, pelabur dan pemimpin masyarakat sivil gambaran mengenai tahun akan datang.
Suraya turut menekankan bahawa kesinambungan dasar dalam sektor tertentu, walaupun dalam persekitaran politik tektonik, akan memberi keyakinan kepada pelabur.
“Ini sangat penting untuk mana-mana perniagaan dan industri,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucaptama berkata banyak perubahan telah berlaku berkaitan corak pengguna dan isu rantaian bekalan.
“Walaupun terdapat nasihat daripada pakar kerajaan dan sektor swasta mengenai penyelesaian untuk menghadapi cabaran ini, pemulihan sebenar adalah daripada keupayaan manusia untuk berinovasi dan mencari penyelesaian,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa transformasi, terutamanya dalam ekonomi digital, perlu berlaku sekarang atau negara akan berisiko ketinggalan.
“Rakyat Malaysia tidak boleh berpuas hati dan ambil mudah. Jika kita tidak berubah, kita menghadapi risiko pelabur mencari peluang yang lebih baik di tempat lain,” katanya.-DagangNews.com








