Kerajaan kaji semula larangan eksport tenaga RE, YTL Power berpotensi raih tender di Singapura – MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan kaji semula larangan eksport tenaga RE, YTL Power berpotensi raih tender di Singapura – MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 10 Mac - Kajian semula larangan eksport tenaga boleh diperbaharu (RE) akan membuka jalan kepada YTL Power International Bhd. namun kumpulan itu boleh mempertimbangkan alternatif, kata MIDF Research.

 

Dalam nota hari ini, MIDF Research berkata kajian semula tersebut akan memberi YTL Power peluang untuk mengambil bahagian dalam tender import kuasa akan datang oleh pihak berkuasa Singapura di samping boleh menyokong pelaburan dan pembangunan penyimpanan solar di Malaysia.

 

Walaupun permohonan cadangan (RFP) memerlukan bekalan berterusan, Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga Singapura (EMA) mengakui kos penjanaan dan teknologi penyimpanan untuk RE sering berubah dan mereka bersedia mempertimbangkan faktor muatan yang lebih rendah, berbanding keperluan 75%, pada beberapa tahun awal pembekalan,” katanya.

 

Penyediaan perkhidmatan pusat data hijau kepada syarikat multinasional (MNC) Singapura memberi nilai tambah yang lebih tinggi daripada jualan elektrik langsung, namun firma itu berpendapat, YTL Power boleh mempertimbangkan alternatif untuk rancangannya untuk mengeksport RE ke Singapura.

 

 “Ini termasuk mendapatkan kuasa daripada pihak ketiga dengan YTL Power Seraya memberi tumpuan, terutamanya pada peruncitan bagi mengurangkan keperluan modal, atau pemerolehan terus bank tanah baharu untuk persediaan ladang solar baharu,” demikian menurut firma itu.

 

Di samping itu, harga pasaran elektrik Singapura adalah menarik memandangkan harga borongnya telah meningkat dengan ketara sejak suku keempat tahun 2021 disebabkan bekalan permintaan lebih ketat dan peningkatan kos bahan api.

 

Kata firma itu lagi, rancangan import kuasa Singapura menyasarkan import sehingga 4GW (gigawatt) elektrik bersih menjelang 2034 yang dijangka membentuk kira-kira 30% daripada bekalan elektrik ketika itu dan memandangkan negara itu kekurangan akses kepada RE, skim import elektrik dijangka memanfaatkan sumber RE dari negara lain.

 

Pada tahun 2021, YTL Power Seraya telah melalui proses permohonan cadangan (RFP) dan dilantik untuk mengimport 100MW elektrik dari Malaysia bagi tempoh percubaan dua tahun namun larangan eksport tenaga RE dilaksanakan oleh kerajaan pada Oktober 2021.

 

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia telah menyatakan bahawa kerajaan sedang mengkaji semula larangan eksport tenaga boleh diperbaharui semasa.

 

Perkembangan terkini berpotensi positif untuk YTL Power berbanding pesaing lain di Malaysia memandangkan hanya syarikat itu mengendali penjanaan elektrik dan peruncitan di Singapura.

 

MIDF Research mengekalkan saranan ‘beli’ pada harga sasaran (TP) RM1.12. -DagangNews.com