Kerajaan Itali tolak cadangan KNM lupus keseluruhan pegangan dalam FBM Hudson | DagangNews Skip to main content

Kerajaan Itali tolak cadangan KNM lupus keseluruhan pegangan dalam FBM Hudson

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Nov - Kerajaan Itali menolak cadangan anak syarikat milik penuh KNM Berhad, KNM Europa BV bagi melupuskan keseluruhan pegangannya dalam FBM Hudson Italiana SpA (FBM Hudson).

 

KNM berkata, pembelinya iaitu Petro MAT FZCO dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) gagal mendapatkan pelepasan rejim pelaburan langsung asing di Itali atau Kuasa Emas daripada kerajaan negara itu, menurut surat daripada bertarikh 7 November daripada syarikat itu.

 

Menurut Persatuan Penasihat Pertahanan Antarabangsa, Kuasa Emas kerajaan Itali merujuk kepada kuasa khasnya untuk menghentikan sebarang pelaburan langsung asing, atau menghentikan transaksi korporat yang melibatkan aset strategik yang termasuk pertahanan, keselamatan negara dan infrastruktur seperti pengangkutan, tenaga dan komunikasi.

 

FBM Hudson terlibat dalam reka bentuk dan pembuatan penukar haba dan peralatan tekanan tinggi bagi perniagaan minyak dan gas, penapisan minyak, petrokimia, kimia, kuasa dan baja.

 

“Pada masa ini, pengurusan KNM sedang mengkaji dan berbincang dengan semua pihak yang berkenaan untuk langkah seterusnya. Perkembangan lanjut berhubung cadangan pelupusan itu akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Sebagai maklum balas kepada permintaan Bursa Malaysia mengenai urus niaga itu, KNM berkata, Petro MAT akan cuba mendapatkan pelepasan Kuasa Emas daripada kerajaan Itali bagi meneruskan transaksi itu secepat mungkin.

 

Pada awal September tahun ini, unit KNM bersetuju melupuskan keseluruhan pegangannya dalam FBM Hudson pada harga 22 juta euro (RM111.76 juta).

 

Hasil daripada pelupusan itu akan digunakan bagi membayar pemiutang KNM atau anak syarikatnya, KNM Process Systems Sdn Bhd, di bawah skim pengaturan yang diumumkan oleh kumpulan itu pada 16 Disember 2022.

 

Berikutan pelupusan saham itu, KNM dijangka mengalami kerugian atas penjualan kira-kira 19.78 juta euro (RM99.09 juta).

 

Menurut pemfailan kumpulan itu sebelum ini kepada bursa tempatan, setakat 30 Jun 2023, FBM Hudson mempunyai nilai aset bersih 40.64 juta euro (RM205.94 juta). - DagangNews.com