KUALA LUMPUR 15 Jun - Kerajaan diingatkan supaya tidak tergesa-gesa menaikkan bayaran perkhidmatan kesihatan di hospital dan klinik kerajaan kerana ia akan menambahkan lagi beban rakyat yang sedang menanggung sengsara ekoran kenaikan kos sara hidup.
Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat ketika ini sedang terkesan dengan kenaikan harga barangan keperluan harian, kenaikan kadar inflasi, kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) dan terbaru, kenaikan tarif elektrik.
Beliau berkata, untuk meringankan beban rakyat, kerajaan boleh mengecualikan golongan B40 daripada dikenakan bayaran.
Katanya, melalui kajian yang dijalankan, ramai daripada mereka yang tidak tergolong dalam kelompok B40 telah jatuh miskin akibat kenaikan kos sara hidup yang mendadak.
"Dalam beberapa kajian yang saya lihat, termasuk yang dikeluarkan oleh Merdeka Center baru-baru ini, majoriti rakyat merasakan kedudukan kewangan peribadi mereka pada tahun ini lebih teruk berbanding tahun lalu. Dapatan ini tidak terhad kepada golongan B40 sahaja.
"Jadi, jika ada cadangan daripada kerajaan untuk menaikkan kadar bayaran rawatan di kemudahan kesihatan awam, saya minta supaya ia ditangguhkan dahulu dan diteliti semula," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan laporan Kertas Putih Kesihatan yang dibentangkan oleh Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa di Dewan Rakyat, hari ini.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, seperti mana yang dinyatakan di dalam kertas putih tersebut, sebahagian besar daripada perbelanjaan kesihatan di negara ini ditanggung oleh kerajaan.
"Maka, kerajaan mencadangkan supaya kadar fi atau bayaran yang dikenakan kepada rakyat untuk mendapatkan rawatan di fasiliti penjagaan kesihatan awam dikaji semula.
"Saya faham bahawa dalam keadaan kerajaan berhadapan dengan masalah kekangan fiskal yang agak meruncing, maka sumber-sumber lain perlu dicari untuk menampung perbelanjaan kerajaan, termasuk mengenakan bayaran tertentu bagi perkhidmatan yang disediakan kepada rakyat," katanya. - DagangNews.com








