KUALA LUMPUR 29 April - Kerajaan berusaha merangka penyelesaian susulan peningkatan mendadak kos binaan sehingga memberi kesan kepada harga kediaman akibat konflik antara Russia dan Ukraine, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata, Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) akan mencari penyelesaian terhadap masalah yang timbul selain memudahkan pembelian dan pemilikan rumah pada masa akan datang.
"Kerajaan menyedari kediaman menjadi keperluan mendesak bagi Keluarga Malaysia. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan MPMMN, langkah-langkah segera dan jangka panjang sudah digariskan untuk menyelesaikan perkara ini.
"Ini adalah selari dengan usaha memperkasakan pemilikan rumah mampu milik bagi golongan B40 dan M40 dalam usaha mengelakkan mereka daripada menanggung beban kewangan yang berat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Pecah Tanah Residensi PR1MA ASTRUM Ampang di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Pengerusi PR1MA, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya.
Menurut Ismail Sabri, aspirasi kerajaan adalah untuk membina 500,000 rumah mampu milik untuk Keluarga Malaysia RMKe-12 sebagai usaha merealisasikan wawasan ‘Satu Keluarga Satu Rumah’.
"Aspirasi ini sangat dekat di hati saya dan pihak kerajaan memahami kerisauan anak muda untuk mempunyai tempat untuk berteduh terutamanya selepas mereka bersara," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, KPKT membuat perancangan untuk melaksanakan pembinaan kediaman baharu berkonsepkan transit atau ‘Transit Oriented Development’ (TOD).
Beliau berkata, kediaman TOD bukan sahaja memudahkan pergerakan anak muda ke tempat kerja tetapi juga membolehkan negara mencapai sasaran mengurangkan jejak karbon menjelang tahun 2030 selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG30).
"Astrum Ampang, merupakan contoh kediaman mampu milik yang mempunyai akses kepada rel Laluan Kelana Jaya dan LRT Laluan Ampang-Sri Petaling, MRT Sungai Buluh Kajang selain bakal disambung dengan MRT Sungai Buloh-Putrajaya dan LRT," katanya.
Katanya, daripada keseluruhan projek, satu daripada empat fasa pembangunannya dikhususkan bagi kediaman PR1MA dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM180.80 juta.
"Bagi projek ini, sebanyak 712 kediaman mampu milik berkonsepkan Small Office Home Office (atau SOHO) dan apartmen khidmat (atau service apartment) di bawah PR1MA akan ditawarkan pada harga RM250,000 dan RM270,000 dengan keluasan 450 kaki persegi dan 550 kaki persegi.
"Selain harga mampu milik, pembeli turut menikmati pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, surau, gelanggang badminton dan taman permainan. Ini adalah satu tarikan untuk anak muda kita hari ini untuk memiliki kediaman ini," katanya. - DagangNews.com








