Kini, terdapat lebih kurang 6 juta kit tersebut telah berada dalam pasaran. - Gambar Astro Awani
KUALA LUMPUR 8 Okt. - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengeluarkan paras harga baharu selepas mengambil kira semua faktor dan dimuktamadkan pada November 2021.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Nanta Linggi berkata, buat masa ini
kerajaan melalui KPDNHEP sedang membuat penilaian di peringkat industri sebelum menentukan harga siling borong dan runcit yang baharu bagi kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian sendiri).
Katanya, pihaknya juga sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membolehkan lebih banyak premis yang menjual kit ujian tersebut seperti pasar raya kerana ada yang telah bersetuju untuk menjual lebih rendah daripada paras harga ditetapkan kerajaan.
"Pembukaan penjualan kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian sendiri) oleh pasar raya dijangka dapat dilaksanakan menjelang akhir Oktober 2021.
"KPDNHEP akan memantau harga dan persaingan kesan daripada peluasan penjualan kit ujian ini selain daripada farmasi dan klinik," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengambil kira semangat Keluarga Malaysia dan kepentingan kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian sendiri) kepada masyarakat, KPDNHEP amat menggalakkan supaya peniaga menawarkan harga yang lebih rendah
dan munasabah tanpa kerajaan menentukan paras harga yang baharu.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihak kementerian mengambil maklum bahawa terdapat lebih kurang 6 juta kit tersebut telah berada dalam pasaran.
"Penetapan harga yang dilaksanakan oleh kerajaan pada 5 September lalu turut mengambil kira kos yang terlibat di dalam membawa masuk dan mengeluarkan kit ujian ini," tambahnya.
Menurut Nanta, kerajaan juga menerima maklum balas daripada industri berhubung paras harga yang wajar dipertimbangkan supaya dapat menjamin bekalan yang mencukupi dan berterusan.
"Saya berharap semua pihak yang terlibat di dalam penjualan kit ujian ini akan mengambil maklum dan memberikan kerjasama demi kebaikan semua pihak.
"Usaha yang digembleng bersama ini juga diharap dapat membantu negara keluar daripada pandemik ini dan seterusnya menghidupkan semula pelbagai sektor di dalam negara termasuk sektor ekonomi domestik," katanya. - DagangNews.com








