Keputusan penggabungan Celcom-Digi terletak di tangan SKMM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keputusan penggabungan Celcom-Digi terletak di tangan SKMM

Celcom-Digi

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Keputusan penggabungan antara Celcom Axiata Bhd dan Digi.com Bhd kini terletak di tangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

 

Kedua-dua syarikat berkenaan telah menyelesaikan cadangan penggabungan masing-masing sebelum diserahkan kepada suruhanjaya berkenaan.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Axiata, Datuk Izzaddin Idris berkata, kumpulannya telah menyerahkan cadangan penggabungan itu kepada SKMM pada Julai dan sentiasa berhubung dengan agensi kawal selia itu untuk memberi penerangan lanjut.

 

"Hingga kini, kami memberi semua maklumat yang diperlukan oleh pihak SKMM dan semua itu akan melalui proses untuk menilai kepentingan umum dan berkemungkinan akan adanya siasatan awam.

 

"Saya tidak tahu berapa lama masa yang akan diambil, tetapi saya rasa jika kita meletakkan jangkaan tempoh masa empat atau lima bulan, ia sepatutnya mencukupi.

 

"Tetapi saya tidak mahu letakkan tempoh masa khusus kerana saya tidak mahu beri tekanan kepada SKMM atau yang seumpamanya," jelas beliau seperti dilapor The Edge hari ini.

 

Baca: Untung bersih Q2 Axiata melompat lebih 100%, umum dividen 4 sen

 

Ditanya sama ada Axiata akan mencari rakan kongsi lain sekiranya penggabungan itu tidak diteruskan, beliau memberitahu, perkara tersebut belum difikirkan dan tiada dalam pertimbangan pihaknya.

 

Beliau sekali lagi menyatakan harapan agar cadangan penggabungan berkenaan mendapat persetujuan.

 

Meneruskan corak perniagaan semasa, Celcom dan Digi akan terus beroperasi sebagai dua syarikat berbeza dan terus bersaing secara sihat selagi penggabungan tersebut tidak diputuskan.

 

Jelas beliau, pihaknya tidak dibenarkan untuk menyetujui apa jua strategi untuk memasuki sesuatu pasaran.

 

"Sekiranya terjadi, perkara tu bukan satu persaingan dan bertentangan dengan undang-undang.

 

"Kami kini kekal sebagai pesaing hingga cadangan penggabungan itu selesai dalam tempoh beberapa bulan lagi," ujarnya lagi. - DagangNews.com