LEBIH separuh daripada populasi dunia telah kembali ke alam pekerjaan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), 15 peratus orang dewasa yang bekerja mengalami masalah gangguan mental pada tahun 2019.
Secara global, dianggarkan 12 bilion hari bekerja hilang setiap tahun disebabkan masalah depresi atau kemurungan dan perasaan cemas (anxiety) dalam kalangan pekerja yang menyebabkan kerugian terhadap kos produktiviti sebanyak AS$1 trilion.
Kesejahteraan pekerja telah menjadi isu kritikal bagi syarikat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kerja jarak jauh dan hibrid menjadi norma sejak diperkenalkan dan ini memberi kesukaran buat pekerja untuk membezakan antara pekerjaan dan kehidupan.
Keadaan ini mendorong kepimpinan perniagaan dan sumber manusia untuk mengutamakan kesejahteraan pekerja secara lebih holistik dengan mengambil kira faktor fizikal dan juga kesihatan mental.
Keadaan Semasa Kesejahteraan Pekerja
Laporan tahunan ketiga Lululemon Athletica Inc’s mengenai Kesejahteraan Global menunjukkan bahawa 67 peratus telah meletakkan kesejahteraan mereka sebagai keutamaan.
Sebanyak 44 peratus pula merasakan bahawa meletakkan kesejahteraan ini sebagai keutamaan adalah mustahil untuk dicapai dan hanya 12 peratus menyatakan bahawa kesejahteraan mereka berada di kedudukan yang sepatutnya.
Halangan dalam norma masyarakat yang masih melihat kesihatan mental sebagai topik ‘taboo’ untuk dibincangkan menjadikan isu kesejahteraan mental ini satu isu yang kritikal.
Satu lagi kajian “Workplace Relationship Index” daripada HP Inc’s menunjukkan bahawa kebanyakan individu yang menjawab survei tidak memiliki hubungan yang sihat dengan tempat kerja mereka yang mana ia meninggalkan kesan terhadap kesejahteraan mental, harga diri dan kesihatan fizikal mereka.
Walaupun majikan telah mengenal pasti kecerdasan emosi sebagai kunci utama perkara ini berlaku namun para pekerja merasakan majikan tidak melakukan secukupnya untuk mereka.
Kesedaran mengenai kepentingan kesejahteraan pekerja semakin meningkat saban hari.
Namun masih terdapat beberapa perkara yang perlu ditekankan. Memberi sokongan terhadap kesejahteraan pekerja adalah satu usaha berterusan dan pihak majikan perlu berusaha untuk membina dan mengekalkan budaya dimana pekerja sentiasa berasa selamat, menyediakan suasana tempat kerja yang selesa dan produktif dimana pekerja akan terasa seperti berada di rumah kedua mereka.
Berikut merupakan cabaran yang didepani oleh majikan dalam mengutamakan kesejahteraan pekerja:
a) Pendekatan ‘’One-Size-Fits-All’’:
Banyak program kesejahteraan menggunakan pendekatan ‘’one-size-fits-all’’ yang tidak berjaya memenuhi keperluan pekerja yang pelbagai. Pekerja memiliki fizikal, mental dan keperluan emosi yang unik dan inisiatif kesejahteraan ini harus mencerminkan perbezaan ini.
b) Kurang Sokongan Kesihatan Mental:
Kesihatan mental sama penting dengan kesihatan fizikal. Namun, sokongan terhadap kesihatan mental masih kurang ditekankan kebanyakan majikan sekaligus mengekalkan stigma masyarakat terhadap masalah kesihatan mental.
c) Work-Life Balance:
Sempadan antara pekerjaan dan kehidupan semakin sukar untuk dijarakkan oleh pekerja dan keadaan ini telah menjurus kepada peningkatan stres dan keletihan melampau (burnout). Mencapai keseimbangan dalam kehidupan atau “work-life-balance” kekal menjadi cabaran dalam beberapa industri.
d) Pelaksanaan Tidak Konsisten:
Meskipun program-program kesejahteraan telah dilaksanakan oleh majikan, pelaksanaannya dilihat tidak konsisten. Ini kerana hanya beberapa pekerja memiliki akses kepada sesuatu sumber manakala separuh daripadanya tidak dan ini mewujudkan jurang terhadap sokongan majikan kepada mereka.
Pendekatan Menyeluruh Berkaitan Kesejahteraan Pekerja
Walaupun tiada istilah satu pendekatan untuk semua atau ‘’one-size-fits-all’’ namun terdapat langkah yang boleh digunakan oleh majikan untuk memupuk persekitaran kerja yang menyokong kesejahteraan pekerja. Ini termasuk:
Sokongan terhadap kesihatan mental:
Beri penekanan terhadap kepentingan kesihatan mental dengan menyediakan perkhidmatan kaunseling, sambutan hari kesihatan mental dan latihan kepada pengurus agar mudah buat mereka mengenal pasti dan memberi sokongan terhadap pekerja yang menghadapi cabaran kesihatan mental ini.
Aturan Kerja Fleksibel:
Beri kelonggaran kepada pekerja melalui pelaksanaan aturan waktu kerja yang fleksibel. Majikan dapat melaksanakan langkah ini dengan memberi pilihan bekerja dari jarak jauh dan ketetapan waktu bekerja yang fleksibel. Ini akan menggalakkan suasana bekerja yang sihat dan memberi ruang kepada pekerja mengamalkan “work-life-balance”.
Aktiviti kesejahteraan kesihatan di tempat kerja:
Gabungkan aktiviti-aktiviti kesejahteraan kesihatan di tempat kerja antaranya kelas yoga, meditasi, pilihan pemakanan sihat dan ruang kerja ergonomik.
Ilmu kewangan:
Memberi pendedahan mengenai ilmu kewangan dan sumber boleh membantu pekerja menguruskan profil kewangan mereka dan mengurangkan tekanan kewangan yang ada.
Rumusan
Persoalan sama ada syarikat telah melakukan sebaiknya dalam mengutamakan dan memupuk kesejahteraan pekerja mereka adalah isu yang kritikal.
Meskipun majikan mula mengambil langkah pelaksanaan berkaitan kepentingan untuk melihat kesejahteraan pekerja dalam konteks yang holistik, namun masih terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan.
Menerusi pelaksanaan pendekatan secara holistik yang merangkumi fizikal, mental dan kesejahteraan emosi, majikan boleh mewujudkan persekitaran tempat kerja yang mendorong kepada peningkatan prestasi kerja dan syarikat akan menerima manfaat daripada peningkatan produktiviti, pengekalan dan reputasi.
Pelaburan oleh syarikat yang disalurkan ke arah kesejahteraan pekerja, bukan sekadar inisiatif yang harus dilakukan sekali sahaja tetapi ianya melibatkan komitmen yang berterusan dari pihak majikan.
Pelaburan ini akan memberikan pulangan dividen dalam bentuk persekitaran tempat kerja yang lebih sihat, gembira dan produktif. – DagangNews.com