Kepakaran Infomina dalam teknologi, tranformasi IT disokong kontrak baharu daripada Bangkok Bank – BIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kepakaran Infomina dalam teknologi, tranformasi IT disokong kontrak baharu daripada Bangkok Bank – BIMB Securities

Oleh DIYANA ISAMUDIN

kUALA LUMPUR 9 Okt - BIMB Securities Research positif terhadap kontrak baharu Infomina Berhad dengan Bangkok Bank berikutan status bank itu sebagai institusi kewangan terkemuka di Thailand dan rantau ASEAN menyokong kepakaran kumpulan dalam teknologi kerangka utama dan transformasi teknologi maklumat (IT).

 

Pada 5 Oktober lalu, Infomina telah mengumumkan bahawa ia memperoleh kontrak bernilai RM35.4 juta daripada Bangkok Bank.

 

Kontrak ini berkaitan dengan penyediaan aplikasi teknologi dan perkhidmatan operasi infrastruktur yang berada di bawah segmen pembaharuannya (penyediaan aplikasi teknologi dan operasi infrastruktur).

 

Tempoh kontrak adalah untuk tempoh tiga tahun, bermula dari 31 Mac 2023, dan berakhir pada 30 Mac 2026.

 

 

BACA JUGA: Infomina raih kontrak RM35.4 juta laksana perjanjian langganan perisian Bangkok Bank

 

 

“Kami positif dengan perjanjian langganan perisian (SSA) dengan Bangkok Bank kerana ia akan meningkatkan buku pesanan sedia ada sebanyak 7.4% kepada RM480.1 juta daripada RM447.1 juta. Ini juga disokong oleh buku tendernya berjumlah RM500 juta (setakat Mei 2023).

 

“Di samping itu, kami melihat status terkemuka Bangkok Bank sebagai institusi kewangan terkemuka di Thailand dan rantau ASEAN yang lebih luas menyokong kepakaran Infomina dalam teknologi kerangka utama dan transformasi teknologi maklumat,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan anggaran pendapatan kerana ini adalah dalam andaiannya terhadap buku pesanan.

 

Firma itu mengulangi saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM1.96 sesaham, diperoleh berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 22 kali (diskaun 15% kepada purata sektor lima tahun sebanyak 25.9 kali) dan pendapatan sesaham 2024 pada 8.9sen.

 

“Diskaun yang digunakan adalah mengambil kira potensi risiko penurunan berkaitan krisis perbankan Amerika Syarikat pada masa ini, terutamanya berikutan pendedahan ketara kumpulan itu dalam industri kewangan,” tambahnya.

 

Pada pukul 11:17 pagi ini, saham Infomina menokok 6 sen atau 3.8% dengan permodalan pasaran sebanyak RM992 juta.  - DagangNews.com