KUALA LUMPUR 5 Ogos - Kenanga Research mengurangkan unjuran hasil Mr D.I.Y Group (M) Bhd. bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) dan FY23 masing-masing sebanyak 16% dan 10% ekoran kebimbangan tekanan inflasi yang akan memberi kesan kepada jualan yang lebih lemah pada separuh kedua.
Firma itu berkata, walaupun jualan bagi tahun ke tahun meningkat tetapi margin sedikit merosot berikutan langkah kumpulan menetapkan harga pada suku pertama.
Pada masa sama, katanya, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) pada separuh pertama berakhir 30 Jun 2022 juga berada di bawah jangkaannya dengan hanya merangkumi 40% dan 44% daripada unjuran tahun penuhnya dan konsensus apabila pengguna mengurangkan perbelanjaan.
"Tetapi, kami menjangkakan margin akan bertambah baik dalam beberapa suku akan datang berikutan pelarasan harga.
"Bagaimanapun, kami berhati-hati dengan prospek pendapatan kumpulan pada separuh kedua ini disebabkan tekanan inflasi," katanya dalam nota kajian hari ini.
Mengambil kira faktor berkenaan, Kenanga Research menyemak turun penafaran Mr D.I.Y kepada 'market perform' daripada 'outperform' dengan harga sasaran juga disemak lebih rendah kepada RM2.40 berbanding RM2.65 sebelum ini.
Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, keuntungan bersih Mr D.I.Y pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 melonjak kepada RM135.19 juta berbanding RM82.13 juta, manakala pendapatan naik 38% dari tahun ke tahun kepada RM1.05 bilion daripada RM759.8 juta yang dicatatkan sebelum ini.
Ia mengaitkan keuntungan bersih serta perolehan yang lebih tinggi kepada peningkatan jumlah urus niaga yang menokok 35% dari tahun ke tahun kepada RM36.1 juta selain sumbangan daripada cawangan baharu yang bertambah sebanyak 20.1% dari tahun ke tahun iaitu daripada 827 kepada 993 cawangan.
Bagi tempoh separuh pertama, kumpulan merekodkan untung bersih sebanyak RM235.69 juta berbanding RM206.92 juta manakala pendapatan juga meningkat kepada RM1.95 bilion daripada RM1.63 bilion bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.
Kenanga Research berkata, Mr D.I.Y kini berada dalam landasan yang betul untuk mencapai sasaran pembukaan 180 cawangan baharu pada FY22 dengan tumpuan di dalam dan di luar kawasan Lembah Klang.
Ketika ini, katanya, 69% daripada cawangannya terletak di luar Lembah Klang, meningkat 1% berbanding setahun lalu.
"Oleh itu, kami mengekalkan anggaran tambahan bersih sebanyak 180 cawangan bagi FY22 dan FY23 dengan pertumbuhan jualan kedai sama (SSSG) masing-masing pada 1% dan 2% (daripada 4% untuk kedua-dua tahun kewangan tersebut sebelum ini).
"Selain itu, kami juga menyemak semula anggaran saiz purata bakul kepada RM29 bagi FY22 dan FY23 (daripada RM30 sebelum ini)," katanya.
Setakat 9.48 pagi ini, harga sahamnya susut 10 sen atau 4.31% kepada RM2.22 dengan 2.02 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








