Kenanga Research naikkan TP United Malacca kepada RM5.90, dengan saranan 'market perform' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenanga Research naikkan TP United Malacca kepada RM5.90, dengan saranan 'market perform'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Mac - Kenanga Research menyemak naik harga sasaran United Malacca Bhd. kepada RM5.90 berbanding RM5.40 sebelum ini dengan mengekalkan penarafan 'market perform'. 

 

Firma itu turut menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) teras bagi tahun kewangan 2022 (FY22) dan FY23 masing-masing sebanyak 15% dan 86% kepada 53.8 sen dan 51.2 sen, berdasarkan kepada harga minyak sawit mentah (MSM) yang kekal tinggi dalam tempoh lebih lama.

 

Ia juga menjangkakan dividen sesaham (DPS) bersih lebih tinggi pada 15 sen bagi FY22-FY23 berbanding 10 sen bagi FY21.

 

"Berbanding bulan sebelum ini, kami kini menjangkakan harga MSM akan kekal tinggi dalam tempoh yang panjang, yang dijangka berlegar pada purata RM4,500 satu tan metrik berbanding RM4,000 sebelum ini.

 

"Malah, kami turut menaikkan unjuran harga MSM bagi FY23 kepada RM4,000 satu tan metrik berbanding RM3,000 sebelum ini, mencerminkan prospek harga yang lebih kukuh menjangkaui 2022," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, untung bersih United Malacca bagi suku ketiga berakhir 31 Januari 2022 meningkat hampir 2 kali ganda kepada RM30.24 juta berbanding RM13.73 juta bagi tempoh sama tahun lalu, disokong harga MSM yang lebih tinggi.

 

Pendapatan bagi tempoh itu juga meningkat 38.15% kepada RM147.79 juta daripada RM106.98 juta, didorong sumbangan yang lebih tinggi menerusi operasinya di Malaysia dan Indonesia.

 

Bagi tempoh 9 bulan berakhir 31 Januari 2022, untung bersihnya melonjak lebih daripada 3 kali ganda kepada RM87.18 juta daripada RM24.71 juta, manakala pendapatan berkembang 39.35% kepada RM406.51 juta berbanding RM291.71 juta bagi tempoh sama 2021.

 

Prestasi bagi tempoh 9 bulan dengan merekodkan untung bersih teras sebanyak RM85.2 juta adalah melebihi jangkaan Kenanga Research. 

 

"Ia adalah 13% dan 11% daripada anggaran kami dan konsensus tahun penuh, yang didorong oleh harga MSM lebih tinggi," katanya.

 

Setakat 9.53 pagi, harga saham United Malacca kekal tidak berubah pada RM5.50 dengan 2,300 saham diniagakan. - DagangNews.com