KUALA LUMPUR 12 Julai - Kenanga Research mengekalkan pandangan 'outperform ' terhadap P.I.E. Industrial Bhd. dengan harga sasaran lebih tinggi pada RM4.10 daripada RM3.70 sebelum ini.
Menurutnya, di sebalik kenaikan inflasi dan kebimbangan pasaran terhadap pemampatan margin, kumpulan dijangka masih dapat mengekalkan atau berpotensi mengembangkan marginnya.
Ini kerana katanya, P.I.E Industrial berupaya memanfaatkan kuasa beli dan kepakaran kejuruteraan Foxconn dalam memperkemaskan operasi untuk mengurangkan sisa dan meningkatkan hasil.
"Selain itu, perkembangan positif lain yang mempengaruhi kumpulan termasuklah kelulusan untuk pengambilan pekerja asing.
"Walaupun hanya menerima kelulusan untuk beberapa ratus pekerja (berbanding permohonan untuk 1,000 pekerja), kumpulan itu percaya bahawa ini mencukupi untuk memacu pelan pertumbuhannya untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) dan FY23," katanya dalam nota kajian hari ini.
Bagaimanapun, firma itu menyedari mengenai amalan peruntukan biasa yang mana kebanyakan syarikat perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) turut menerima bilangan pekerja yang lebih rendah daripada yang diminta.
"Dalam hal ini, kumpulan akan menjalankan pengambilan pekerja secara berkelompok dan menyelesaikan keseluruhan proses menjelang Ogos," tambahnya.
Sementara itu, Kenanga Research mendapati di sebalik kelembapan baru-baru ini dalam ruang kewangan terdesentralisasi (DeFi), tempahan untuk perkakasan litar bersepadu khusus aplikasi (ASIC) daripada pelanggan China baharunya serta produk lain daripada pangkalan pelanggannya kekal teguh.
Katanya, P.I.E Industrial berada dalam kedudukan yang tepat memandangkan pelanggan perkakasan ASIC ditolak berpindah keluar dari China.
"Selain itu, kumpulan merupakan vendor pilihan di Malaysia yang boleh mengendalikan kerumitan pembuatan yang diperlukan dan mampu memanfaatkan kuasa beli syarikat induknya, Foxconn untuk memastikan bekalan komponen," jelasnya. - DagangNews.com








