Kenanga Research kekal penarafan ‘overweight’ terhadap sektor telekomunikasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenanga Research kekal penarafan ‘overweight’ terhadap sektor telekomunikasi

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 5 April - Kenanga Research mengekalkan penarafan ‘overweight’ terhadap sektor telekomunikasi disebabkan telekomunikasi telah berkembang menjadi satu keperluan asas dan penting dalam kehidupan moden, menyokong daya tahan pendapatan pemain industri.

 

Menurut firma penyelidikan itu, komitmen kerajaan merapatkan jurang digital dan mendorong Revolusi Perindustrian 4.0 akan meningkatkan lagi pelaburan dan permintaan untuk perkhidmatan telekomunikasi.

 

“Saga berlarutan Rangkaian Borong Tunggal (SWN) dan pemiliknya Digital Nasional Bhd (DNB) untuk pelancaran 5G dilihat hampir selesai, dengan potensi pelarasan kepada terma sedia ada yang memberi manfaat kepada pengendali rangkaian mudah alih (MNO),” katanya dalam nota hari ini.

 

Firma itu berkata, kerajaan dilihat menyokong SWN diterajui DNB dengan penekanan pada pelancaran pantas 5G sebagai persediaan menghadapi 6G yang akan datang pada tahun-tahun akan datang, di mana semakan pelancaran oleh DNB kelihatan sangat memihak kepada syarikat telekomunikasi dari segi kos dan mekanisme pelancaran.

 

Selain itu, liputan yang lebih luas, kemampuan terbaik dan kelajuan terpantas juga akan meningkatkan langganan dan purata pendapatan setiap pengguna (ARPU).

 

Firma itu berkata, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk membantu golongan B40, veteran, warga emas dan orang kurang upaya serta terlibat dengan DNB yang mungkin akan mengurangkan kos akses dikenakan kepada syarikat telekomunikasi.

 

“Inisiatif ini akan memberi ruang kepada syarikat telekomunikasi dalam menyediakan perkhidmatan pada harga yang lebih rendah tanpa menjejaskan margin mereka,” jelasnya.

 

Pilihan utama firma itu dalam sektor telekomunikasi adalah CelcomDigi Berhad dengan saranan ‘outperform’ pada harga sasaran (TP) RM4.64 dan Maxis (‘outperform’ TP RM4.52).

 

“Kami menyukai CelcomDigi memandangkan kumpulan itu merupakan peneraju pasaran baharu dalam pasaran mudah alih dengan gabungan bahagian pasaran sebanyak 43% selepas penggabungan.

 

Selain itu,  ia mempunyai harga kompetitif dan gabungan yang menarik pelanggan asing, domestik dan B40, di samping margin EBITDA unggul kedua-dua Digi dan Celcom pada 5 hingga 6 mata peratusan (ppts) melebihi purata industri 41 hingga 42%,” jelasnya.

 

Firma itu menambah, pelancaran 5G juga akan meningkatkan pelanggan CelcomDigi memandangkan Maxis tidak berada dalam ruang tersebut pada masa ini.

 

Bagaimanapun, firma itu positif terhadap Maxis memandangkan ia mempunyai penjenamaan yang kukuh dan kesetiaan pelanggan serta permintaan berdaya tahan kerana ia mendahului pesaingnya dari segi pembinaan menara 4G baharu, gentian premis dan menaik taraf menara sedia ada.

 

Ini sekali gus meningkatkan pendapatan perniagaan-ke-perniagaan (B2B) menyokong kedua-dua korporat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus meningkatkan pendigitalan mereka. -DagangNews.com