KUALA LUMPUR 7 Mac - Kenanga Investors Berhad (Kenanga Investors) berjaya merangkul 6 anugerah pada Anugerah Best of the Best 2022 oleh Asia Asset Management di Hong Kong untuk kategori Pengurus Ekuiti Terbaik Malaysia (4 tahun berturut-turut), Pengurus Pelaburan Impak Terbaik Malaysia, Amalan ESG Terbaik (ASEAN) dan Rumah Pelaburan Alternatif Terbaik Malaysia.
Di samping itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ismitz Matthew De Alwis turut memenangi CEO Terbaik Malaysia buat kali ke-3, manakala Ketua Pegawai Pelaburannya, Lee Sook Yee telah dinobatkan sebagai CIO Terbaik Malaysia iaitu kemenangan kali ke-6 dalam kategori ini.
Pertumbuhan teguh firma tersebut sebagai institusi pengurusan aset yang berpaksikan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) di Malaysia bermula pada 2017 apabila ia menjadi penandatangan kepada Kod Pelabur Institusi Malaysia (Kod), sehingga ia memenangi Anugerah Pengurus Pelaburan Impak Terbaik Malaysia dan Amalan ESG Terbaik (ASEAN) buat julung kali.
Bagi melaksanakan kewajipannya, firma tersebut telah merangka amalan untuk menyokong Kod tersebut serta membudayakan prinsip-prinsip berkenaan di keseluruhan rantaian nilai pelaburan.
De Alwis berkata, syarikat berbesar hati dengan pengiktirafan terhadap usaha mereka dalam menyokong landskap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di Malaysia dan ASEAN.
"Pada masa ini, kami percaya landskap tempatan dan serantau menghadapi cabaran dalam pembinaan kapasiti untuk menangani isu kemampanan secara berkesan dalam aspek seperti kecekapan, kemahiran, dan kesedaran teknikal tentang penerapan model top-down yang berpaksikan kemampanan.
"Kami yakin, fokus kami untuk menyepadukan ESG ke dalam tiga aspek utama, iaitu keseluruhan firma, produk dan peringkat saham, akan menjana nilai yang boleh diukur bagi semua pihak berkepentingan”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Walaupun menghadapi ketidaktentuan pasaran pada 2021, firma tersebut berjaya meraih prestasi memberangsangkan apabila memenangi gelaran Pengurus Ekuiti Terbaik Malaysia buat tahun ke-4 berturut-turut.
Mengulas prestasi tersebut, Sook Yee pula berkata, pasukan mereka berjaya menghadirkan keputusan di luar jangkaan walaupun menghadapi aktiviti dagangan yang berkurangan serta pergolakan pasaran yang berterusan akibat ketidakstabilan politik pada 2021.
"Mengambil pendekatan saham bottom-up, kami yakin kelebihan daya saing kami ialah kedalaman dan disiplin penyelidikan pelaburan kami, serta fokus kami pada prestasi jangka panjang, iaitu tempoh 3, 5 dan 10 tahun.
"Fokus kami pada penyelidikan memastikan semua saham dalam portfolio kami tertakluk kepada pendekatan ketat terhadap pemilihan saham dan pengesahan tesis pelaburan. Selain itu, kami sengaja mengecualikan “saham panas” yang dapat membawa risiko penurunan yang tidak boleh diterima," katanya.
Jelas De Alwis lagi, falsafah pelaburan firma tersebut yang menyeluruh menegaskan bahawa objektif pelaburan yang berbeza memerlukan penyelesaian diperibadikan bagi memenuhi keperluan unik setiap pelabur.
“Selaku peneraju pelaburan alternatif dalam pasaran Malaysia, instrumen alternatif kami menawarkan sumber pulangan tambahan yang tidak berkorelasi, selari dengan objektif pelabur masing-masing.
"Matlamat kami untuk merapatkan jurang antara pelabur runcit dengan bentuk produk yang lebih sofistikated, yang terdahulu hanya tersedia untuk pelabur institusi atau bertauliah, telah menyemarakkan pertumbuhan pasaran menerusi pelbagai pelancaran produk dalam tempoh tiga tahun lepas,” katanya. - DagangNews.com








