Kenaikan tarif elektrik, permintaan lemah jejaskan prospek Thong Guan bagi FY23 - Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenaikan tarif elektrik, permintaan lemah jejaskan prospek Thong Guan bagi FY23 - Kenanga Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Dis - Kenanga Research mengekalkan pandangan 'outperform' terhadap Thong Guan Industries Bhd. dengan harga sasaran lebih rendah pada RM3.28 daripada RM3.99 sesaham sebelum ini. 

 

Firma itu mengekalkan unjuran hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) tetapi mengurangkan 17% unjuran bagi FY23. 

 

Semakan itu mengambil kira tarif elektrik yang lebih tinggi dan permintaan lemah ekoran kelembapan ekonomi global.

 

Menurutnya, prospek permintaan bagi sektor pembungkusan plastik dijangka kurang memberangsangkan pada 2023 disebabkan kelembapan ekonomi manakala gangguan rantaian bekalan akan terus menjejaskan operasi pengguna akhir.

 

"Kami menjangkakan prospek lebih perlahan terutamanya pada separuh pertama FY23. Tetapi, ini akan dikurangkan sebahagiannya dengan masalah buruh yang semakin kekurangan, dapat meningkatkan produktiviti dan kecekapan yang lebih baik.

 

"Selain itu, margin juga meningkat kerana kos inventori resin yang tinggi berkurangan secara beransur-ansur manakala kos input resin yang semakin berkurangan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pada suku ketiga berakhir 30 September 2022, untung bersih Thong Guan meningkat kepada RM27.12 juta daripada RM22.38 juta manakala pendapatan meningkat kepada RM356.5 juta daripada RM296.83 juta.

 

Dalam taklimat bersama penganalisis baru-baru ini, kumpulan memberi panduan kosnya akan meningkat sekitar RM12 hingga RM14 juta ekoran kenaikan tarif elektrik mulai 1 Januari 2023. 

 

Kenanga Research terus menjangkakan pertumbuhan hasil Thong Guan bagi FY23 walaupun ia mengurangkan kadar pertumbuhan kepada 5.9% daripada 27.1%.

 

"Ini disebabkan kos elektrik lebih tinggi manakala permintaan untuk filem regangan nano kekal berdaya tahan, tetapi filem regangan konvensionalnya akan terjejas disebabkan ekonomi global yang lebih perlahan," jelasnya.

 

Setakat 12.07 tengah hari, harga sahamnya susut 3 sen atau 1.26% kepada RM2.36 dengan 24,000
saham diniagakan. - DagangNews.com