Kenaikan tarif bekalan air, Kenanga Research jangka Engtex terima lebih banyak tempahan paip | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenaikan tarif bekalan air, Kenanga Research jangka Engtex terima lebih banyak tempahan paip

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Feb - Engtex Group Bhd dijangka menerima lebih banyak tempahan paip berikutan kenaikan tarif bekalan air-baru-baru ini yang akan mendorong kepada pengukuhan aliran tunai kepada operator air.

 

Kenanga Research berkata, harga keluli yang stabil juga akan meningkatkan margin keuntungan keseluruhan kumpulan.

 

Sebagai pembekal paip air panel Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB), Ranhill SAJ dan Pengurusan Air Selangor, firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu bersedia untuk menerima lebih banyak pesanan pada masa hadapan.

 

Katanya, ia susulan pengumuman Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengenai kenaikan purata sebanyak 25 sen bagi setiap meter padu atau kira-kira 42% kenaikan tarif air berkuat kuasa 1 Feb 2024 untuk pengguna domestik.

 

Ia berkata kenaikan itu diterjemahkan kepada mengukuhkan aliran tunai bagi pengendali air ini, membolehkan mereka memulakan program perbelanjaan modal mereka dalam infrastruktur air termasuk inisiatif pengurangan air tidak terhasil (NRW).

 

Katanya, kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan NRW negara daripada 36% pada 2021 kepada 15% menjelang 2049. Dianggarkan bahawa 70% hingga 75% daripada NRW semasa adalah disebabkan oleh isu seperti kebocoran, paip pecah dan kelengkapan yang rosak.

 

“Berdasarkan anggaran kami, penurunan 1% dalam NRW akan menelan belanja kira-kira RM800 juta. Engtex menganggarkan terdapat paip sepanjang lebih 6,292km yang memerlukan penggantian segera di Selangor, bermakna 350,000 tan paip dengan kos kira-kira RM1 bilion,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kenanga Research berkata, Engtex mendedahkan bahawa pada November 2023, buku pesanannya berjumlah RM229 juta manakala buku tendernya mencecah RM720 juta.

 

Katanya, kumpulan itu percaya harga keluli telah menyusut dan sekurang-kurangnya stabil pada paras semasa.

 

“Kami memahami bahawa terdapat rancangan untuk melepaskan aset bukan terasnya. 

 

"Perolehan itu boleh mengurangkan hutang bersih semasa dan penggearannya masing-masing sebanyak RM495 juta dan 0.62x pada akhir suku ketiga 2023 dan seterusnya mengurangkan kos kewangannya,” katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran RM1.41 berbanding 77 sen sesaham. - DagangNews.com