Kenaikan OPR jejaskan pengambilalihan baharu dalam sektor REIT | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenaikan OPR jejaskan pengambilalihan baharu dalam sektor REIT

Sentral REIT adalah antara pilihan utama HLIB dalam sektor REIT.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 19 Julai - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor Real Estate Investment Trust (REIT) dengan pilihan utamanya ialah saham Axis REIT dengan saranan 'beli'. 

 

Pada harga sasaran (TP) RM2.08 sesaham, menurutnya, Axis REIT memiliki daya tahan yang kukuh sepanjang mengharungi cabaran pandemik dengan meningkatkan penyertaannya dalam hartanah perindustrian, memiliki kadar penyewaan yang tinggi dalam portfolio yang pelbagai dan merupakan salah satu REIT patuh syariah. 

 

Selain itu, ia juga meletakkan Sentral REIT sebagai pilihan bagi sektor tersebut dengan TP 99 sen (saranan 'beli') berikutan portfolio penghunian yang stabil dalam ruang pejabat dan hasil yang menarik sebanyak 8.2% (tertinggi dalam kalangan REIT di bawah liputannya).

 

"Kami menjangkakan REIT perindustrian akan kekal kukuh di sebalik trend e-dagang yang semakin berkembang yang mendorong kepada permintaan untuk pusat logistik.

 

"Harga purata kadar sewa pasaran industri terus meningkat terutamanya di Shah Alam, justeru, kami menjangkakan kadar pengembalian sewa yang positif pada masa hadapan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Malah, HLIB juga mendapati REIT pejabat di bawah liputannya akan kekal stabil berikutan kedudukannya di lokasi strategik dan mempunyai penyewa jangka panjang.

 

Selain itu, REIT peruncitan dan hotel akan pulih sejajar dengan peralihan negara kepada fasa endemik.

 

Firma itu mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor REIT memandangkan pembukaan semula ekonomi akan diimbangi oleh kadar faedah yang dijangka meningkat.

 

Menurutnya, kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) akan menyebabkan kos pinjaman yang lebih tinggi untuk REIT, dan mungkin menjejaskan potensi pengambilalihan baharu.

 

Katanya, ia menjangkakan kadar itu meningkat lagi 25 mata asas pada September ini, menjadikan OPR mencecah 2.50% menjelang akhir tahun ini.

 

"Sebaran hasil antara M-REIT dan MGS 10 tahun (MAG10YR) kini berada pada 2.16%, iaitu menghampiri -1SD dengan tempoh 5 tahun sebanyak 2.76%. 

 

"Kami percaya penyebaran hasil yang mengecil akan mengurangkan daya tarikan M-REIT apabila kadar faedah meningkat," katanya. - DagangNews.com