Kenaikan kadar faedah dorong kenaikan harga hartanah pada suku keempat 2022 - PropertyGuru | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenaikan kadar faedah dorong kenaikan harga hartanah pada suku keempat 2022 - PropertyGuru

KUALA LUMPUR 16 Feb - Harga hartanah di Malaysia meningkat 1.5% suku ke suku pada suku keempat 2022 menjadikan keseluruhan peningkatan sebanyak 5% sepanjang tahun lalu, berdasarkan harga permintaan hartanah yang disenaraikan di PropertyGuru.com.my.

 

Trend kenaikan ini dijangka berterusan kerana pembeli rumah sedia ada menaikkan harga hartanah mereka bagi mengimbangi kos keseluruhan pemilikan rumah yang lebih tinggi disebabkan peningkatan kadar faedah kepada 2.75% pada tahun lalu. 

 

Pengurus Negara, Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my), Sheldon Fernandez berkata, walaupun pasaran hartanah menyaksikan aktiviti sihat sepanjang tahun lalu, namun laporan terbaharu kami menunjukkan rakyat Malaysia masih terus berhati-hati untuk membuat keputusan pembelian yang besar. 

 

"Peningkatan inflasi dan kos pinjaman lebih tinggi mengurangkan bajet bakal pembeli, pada masa sama memaksa penjual untuk menaikkan harga bagi menanggung kos pelaburan hartanah lebih tinggi. 

 

"Ini mewujudkan fenomena di mana jurang harga antara penjual dan pembeli terus melebar, seterusnya menyumbang kepada isu mampu milik perumahan yang kami jejaki sepanjang 2022," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

PropertyGuru Malaysia mengumumkan Laporan Pasaran Hartanah Suku Pertama 2023 (MPMR) PropertyGuru Malaysia yang mendedahkan harga hartanah terus meningkat walaupun berlaku penurunan permintaan daripada pembeli, seterusnya melebarkan jurang dengan penjual.

 

Bagaimanapun, Indeks Permintaan Jualan menyaksikan penurunan mendadak sebanyak 14.8% suku ke suku, situasi yang menggambarkan bakal pembeli rumah mungkin berdepan kesukaran kemampuan atau kekurangan keyakinan terhadap harga hartanah dalam pasaran semasa. 

 

Susulan kenaikan harga hartanah, bakal pembeli rumah beralih kepada pasaran sewa yang menyaksikan Indeks Permintaan Sewa mencecah 32.9% pada 2022. 

 

Bekalan dalam penyenaraian sewa di laman web PropertyGuru juga menyaksikan peningkatan 19.6% kerana tuan rumah kembali memasuki pasaran sewa yang memiliki permintaan positif, dalam usaha mencari sumber pendapatan alternatif bagi berdepan inflasi. 

 

Bagaimanapun, Laporan Pasaran Hartanah merekodkan penurunan permintaan sewa sebanyak 4% suku ke suku pada suku keempat 2022 selepas peningkatan berterusan pada suku-suku sebelumnya. 

 

Menurut Sheldon, ketika ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 4 hingga 5% pada 2023, pasaran hartanah kekal aktif dengan pertumbuhan positif. 

 

Sementara itu, katanya, kejatuhan dalam jualan dan permintaan sewa yang dilihat pada akhir 2022 besar kemungkinan disumbangkan oleh cuti hujung tahun dan musim perayaan yang menangguhkan pelan pemilikan rumah rakyat Malaysia.

 

"Namun, pemain hartanah masih perlu mempertimbangkan isu kemampuan perumahan semasa dan menjangkakan permintaan sewa untuk menurun pada separuh pertama tahun ini. 

 

"Pada masa sama, ramai rakyat Malaysia sabar menunggu inisiatif bantuan kerajaan pada pembentangan semula Bajet 2023 serta penambahbaikan kadar inflasi sebelum membuat pembelian," jelasnya. - DagangNews.com