Kenaikan harga tenaga global hanya sementara, HLIB jangka permintaan utiliti kembali pulih Q4  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenaikan harga tenaga global hanya sementara, HLIB jangka permintaan utiliti kembali pulih Q4 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 18 Okt. - Permintaan bagi utiliti seperti elektrik dan gas dijangka kembali pulih pada suku keempat ini sejajar dengan peralihan negara kepada fasa keempat di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN). 

 

Bagaimanapun, penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Daniel Wong berkata, kenaikan harga tenaga bahan bakar global baru-baru ini meningkatkan kebimbangan terhadal impak kepada ekonomi dan sektor utiliti. 

 

Tetapi, katanya, kenaikan harga bahan bakar ini dijangka berlaku dalam tempoh jangka pendek dan mekanisme mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) kekal kukuh. 

 

"Ini melindungi Tenaga Nasional Bhd. (TNB) daripada kenaikan kos bahan bakar (yang dilindungi dengan subsidi daripada kerajaan/Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) yang membenarkan surcaj kepada pengguna akhir).

 

"YTL Power International Bhd (YTL Power) dan Petronas Gas Bhd. pula tidak mempunyai kesan langsung daripada harga bahan bakar ini," katanya dalam nota kajian hari ini

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'overweight' ke atas sektor utiliti setelah mengambil kira pendapatan dan kelangsungan hasil dividen sektor tersebut yang stabil ketika berdepan tempoh mencabar akibat pandemik COVID-19.

 

Ini membolehkannya mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham TNB pada harga sasaran (TP) RM12.50 berikutan kedudukan pendapatan syarikat dan bayaran dividen yang stabil.

 

Ia turut mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham YTL Power dan Petronas Gas masing-masing dengan TP 85 sen dan RM19. 

 

Menurut Wong, kenaikan harga tenaga global baru-baru ini secara mendadak disebabkan permintaan luar biasa daripada negara-negara yang menyaksikan pemulihan ekonomi dan jangkaan musim sejuk akan datang di hemisfera utara, manakala masalah pengeluaran masih menjejaskan bekalan.

 

Sebelum ini, dilaporkan harga arang batu mencecah sehingga AS$230 satu tan metrik manakala harga gas asli cecair (LNG) Asia mencecah AS$25/mmbtu.

 

"Sama seperti 2007-2008, kami percaya, kenaikan harga ini tidak stabil dan akan berkurangan pada 2022 selepas musim sejuk dan pengeluaran kembali meningkat.

 

"Tetapi, lonjakan ini tentunya menimbulkan kebimbangan mengenai kesan terhadap ekonomi Malaysia dan sektor utiliti dari segi kos dan permintaan penjanaan elektrik sekurang-kurangnya dalam tempoh jangka pendek," jelasnya.

 

Menurut beliau, di bawah kerangka RAB, terdapat mekanismes ICPT yang melewati kenaikan kos bahan bakar kepada pengguna akhir. 

 

Kerajaan, katanya, telah memberi subsidi sepenuhnya (melalui KWIE atau dana lain) atau sebahagiannya dan membenarkan tanggungan kos bahan bakar yang tinggi kepada pengguna akhir dalam bentuk surcaj.

 

"Dalam hal ini, kami menjangkakan TNB kekal neutral daripada sebarang kenaikan harga tenaga global (kecuali impak terhadap aliran tunai bagi tempoh jangka pendek disebabkan ketidaksepadanan tempoh masa).

 

Sementara itu, Wong berkata, kos utiliti juga mematuhi komitmen kerajaan ke arah neutral karbon menjelang 2050 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12). 

 

Katanya, penggunaan tenaga diperbaharui bercampur yang tinggi akan mengurangkan kesan daripada ketidaktentuan harga bahan bakar pada masa depan. 

 

"Untuk itu, TNB telah menyatakan komitmennya ke arah karbon neutral menjelang 2050 sejajar dengan dasar kerajaan manakala YTL Power pula baru sahaja memulakan perancangan bagi pembangunan LSS berkapasiti 500MW di Malaysia. 

 

"Petronas Gas pula sedang meneroka peluang bagi loji Co-gen baharu, yang dijangka mendapat manfaat daripada permintaan LNG yang tinggi di Malaysia," jelas beliau. -DagangNews.com