KUALA LUMPUR 14 Feb - Kenanga Research mengekalkan pandangan 'outperform' terhadap Press Metal Aluminium Holdings Bhd. dengan harga sasaran dinaikkan kepada RM6.30 daripada RM5.50 sesaham sebelum ini berikutan prospek kumpulan yang lebih baik didorong kenaikan harga aluminium.
Setakat ini, harga aluminimum telah meningkat 6% kepada melebihi AS$2,500 satu tan metrik, ekoran pembukaan semula China, yang merupakan pengguna global aluminium terbesar.
Permintaan akan disokong oleh normalisasi aktiviti ekonomi, terutamanya, pemulihan dalam sektor hartanah yang disokong oleh langkah daripada kerajaan China.
Sebaliknya, keperluan 'hijau' yang menjadi lebih ketat, terutama di China, akan menyaksikan penutupan peleburan yang didorong oleh tenaga fosil (terutama arang batu), mengetatkan lagi bekalan aluminium global.
Namun, firma itu menyukai Press Metal berdasarkan kelebihan kos struktur berbanding pemain industri antarabangsa lain memandangkan aksesnya kepada kuasa hidro kos rendah yang dijamin di bawah empat kontrak perjanjian pembelian tenaga (PPA) jangka panjang yang berakhir antara 2023 dan 2040.
"Selain itu, bekalan aluminium juga terjamin kukuh menerusi kepentingan dalam dua pelombong, iaitu Japan Alumina Associate (40%) dan PT Bintan (25%) yang membekalkan 80% daripada keperluannya serta tarikan pelaburan hijau sebagai pengeluar sumber tenaga bersih," katanya dalam nota kajian hari ini.
Berikutan prospek cerah kumpulan, firma itu menaikkan unjuran hasil Press Metal bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) sebanyak 7% dengan mengambil kira anggaran harga aluminium pada AS$2,550 satu tan metrik (daripada anggaran sebelum ini, AS$2,500).
"Pada masa sama, kami juga menaikkan anggaran harga aluminimum bagi tempoh jangka panjang kepada AS$2,300 satu tan metrik (daripada AS$2,150 satu tan metrik sebelum ini)," katanya.
Setakat 10.54 pagi ini, harga sahamnya menokok 7 sen atau 1.36% kepada RM5.22 dengan 406,100 saham diniagakan. - DagangNews.com








