Kenaikan berterusan OPR tahun ini boleh jejaskan pengguna - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenaikan berterusan OPR tahun ini boleh jejaskan pengguna - Penganalisis

Kenaikan OPR dijangka menyebabkan orang ramai lebih berhati-hati dalam berbelanja. - Gambar/unsplash (karya Ryoji Iwata)
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 12 Mei - Bank Negara Malaysia (BNM) dilihat mengambil langkah 'mengejut' dengan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 2%, meskipun penganalisis sebelum ini menjangkakan ia hanya akan berlaku pada separuh kedua 2022. 

 

Sebelum ini, bank pusat mengekalkan paras rendah kadar faedah itu pada 1.75% sejak Julai 2020 bagi memberi sokongan kepada ekonomi yang terjejas akibat pandemik COVID-19. 

 

Kenaikan yang diumumkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM yang ketiga itu juga merupakan kali pertama sejak Januari 2018.

 

 

Razli Ramli
Razli Ramli

 

 

Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia, Dr. Razli Ramli berkata, dengan kadar 1.75% sebelum ini, ia adalah amat rendah dan secara teorinya, kenaikan kepada 2% tidaklah begitu signifikan. 

 

Jelasnya, ia sekadar usaha untuk menggalakkan simpanan dan mengurangkan bekalan wang dalam ekonomi.

 

"Dalam tempoh jangka pendek, tidak nampak akan ada sebarang kesan besar kepada pengguna. Namun, sekiranya kadar ini dinaikkan secara berterusan tahun ini, mungkin akan memberi kesan kepada kenaikan bayaran ansuran pembiayaan. 

 

"Cuma, yang bagusnya, orang ramai akan mula menyimpan duit di dalam bank sebab pulangan akaun simpanan dijangka akan lebih baik. Mereka juga akan lebih berhati-hati dalam berbelanja," katanya kepada DagangNews.com hari ini. 

 

Mengulas lebih lanjut, beliau yang juga kolumnis di portal ini berkata, dengan kadar pembiayaan meningkat, ia serba sedikit akan mengurangkan permintaan kepada pembiayaan bank. 

 

"Tetapi, saya tidak nampak kadar pembiayaan akan naik buat masa ini. Mungkin bank akan menanti Piawaian Kadar Asas yang diwartakan BNM, berkuat kuasa 1 Ogos 2022," tambahnya.

 

BNM semalam berkata, sepanjang krisis COVID-19, OPR dikurangkan sebanyak 125 mata asas secara kumulatif kepada paras terendah yang belum pernah dicatatkan sebelum ini, iaitu 1.75%, bagi memberi sokongan terhadap ekonomi. 

 

Bagaimanapun, keadaan pandemik yang pertama kali berlaku sehingga memerlukan tindakan sedemikian kini semakin reda dan MPC mengambil keputusan untuk mula mengurangkan tahap akomodasi monetari. 

 

Pengurangan itu akan dilaksanakan secara terkawal dan beransur-ansur bagi memastikan dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil.

 

 

Aimi Zulhazmi Abdul Rashid
Aimi Zulhazmi Abdul Rashid

 

 

Sementara itu, penganalisis ekonomi dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kenaikan itu akan meningkatkan semua pembayaran pinjaman berlandaskan faedah apungan di institusi-institusi kewangan, justeru, memberi tekanan kepada pengguna dan juga perniagaan yang mempunyai pinjaman di bank pada kadar diapungkan.

 

Pada masa sama, katanya, ia juga akan mengurangkan insentif kepada kedua-dua sektor tersebut untuk membuat pinjaman baharu sama ada pinjaman rumah, kenderaan, peribadi dan pinjaman modal.

 

"Apabila pinjaman bulanan dinaikkan terutama yang berdasarkan kadar apungan, maka pengguna dan perniagaan terpaksa menambah peruntukan untuk pembayaran dan ini akan mengurangkan jumlah perbelanjaannya. Ia turut mengurangkan kuasa beli pengguna dan kecenderungan membuat pinjaman baharu.

 

"Ini mungkin akan merencatkan pemulihan ekonomi pada 2022 ketika proses untuk mengawal kenaikan kadar inflasi yang makin meninggi. Kegiatan pemulihan ekonomi juga dijangka kembali perlahan apabila kos kewangan meningkat," jelasnya.

 

Baca : BNM naikkan OPR kepada 2% daripada paras terendah 1.75%

 

Menurut beliau, kenaikan kadar OPR ini menyebabkan kadar deposit kembali meningkat, dan secara tidak langsung menarik pengguna dan perniagaan menyimpan lebihan tunai di bank-bank daripada terus berbelanja yang memberi kesan kepada kadar inflasi tinggi. 

 

Jelasnya, pengurangan kadar inflasi yang dijangkakan BNM akan berjaya dengan menaikkan kadar faedah bagi mengurangkan lebihan tunai di dalam pasaran yang dikatakan penyebab utama meningkatnya kadar inflasi.

 

"Kesimpulannya, BNM berpendapat ekonomi negara sudah menunjukkan tanda-tanda positif dengan pembukaan sempadan antarabangsa dan ekonomi domestik. 

 

"Namun, situasi ekonomi global masih belum menentu dan ini menyebabkan risiko masih lagi tinggi, justeru, kadar faedah perlu dinaikkan," tegasnya. 

 

BNM

 

 

Dalam nota kajian, CGS CIMB Research berpendapat OPR mungkin akan dinaikkan 2 atau 3 kali lagi menjelang akhir tahun ini dengan mengambil kira kadar pemulihan ekonomi ketika ini. 

 

Ini terutamanya dengan mengambil kira pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang pesat pada suku kedua berikutan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara besar-besaran dan pendapatan berasaskan harga komoditi yang tinggi.

 

Namun, katanya, penilaian risiko penurunan, terutamanya kemungkinan kelembapan global yang lebih ketara, boleh melembapkan sektor luaran dan ini mungkin menghentikan kitaran kenaikan kadar walaupun peningkatan berterusan di peringkat domestik.

 

Menurutnya, kitaran kenaikan kadar terakhir pada 2010 juga terganggu oleh ketidaktentuan dalam pasaran global.

 

"Berdasarkan risiko ini, kami ambil kira dan membuat jangkaan yang lebih konservatif untuk 2 lagi kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas susulan kenaikan semalam. 

 

"Ini menunjukkan BNM mungkin menaikkan kadar ini 2 kali dalam 3 lagi mesyuaratnya pada 2022.

 

"Di samping itu, dengan kadar OPR dijangka pada 2.50% menjelang akhir 2022, kami berpendapat, ia akan konsisten dengan ekonomi domestik yang mungkin belum pulih sepenuhnya daripada kesan berpanjangan akibat pandemik COVID-19," jelasnya. - DagangNews.com