Kemungkinan dagangan digantung Jumaat ini, saham Serba Dinamik jatuh serendah 1 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kemungkinan dagangan digantung Jumaat ini, saham Serba Dinamik jatuh serendah 1 sen

KUALA LUMPUR 20 Dis - Saham Serba Dinamik Holdings Bhd. jatuh serendah 1 sen ketika dagangan berakhir tengah hari ini. 

 

Harga sahamnya susut 0.5 sen atau 33.33% dengan 91.76 juta saham diniagakan. 

 

Dagangan syarikat perkhidmatan minyak dan gas itu akan digantung mulai Jumaat ini sekiranya ia gagal mengemukakan laporan tahunan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (FY22). 

 

Pada 15 Disember lalu, syarikat minyak dan gas itu gagal mengemukakan laporan tahunan seperti ditetapkan Bursa Malaysia pada 1 November 2022.

 

Baca : Dagangan Serba Dinamik akan digantung Jumaat ini jika gagal kemuka laporan tahunan FY22

 

Sebaliknya, dalam makluman pada Jumaat, Serba Dinamik berharap dapat mengemukakan laporan tersebut pada 22 Disember ini selepas melengkapkan kenyataan kewangan tahunan yang diaudit.

 

Bursa Malaysia juga menegaskan, berdasarkan kepada perenggan 9.28(6) LR Utama, jika penerbit tersenarai gagal mengemukakan penyata kewangan dalam tempoh enam bulan dari tarikh akhir ditetapkan, prosedur nyahsenarai akan dikuatkuasakan.

 

Serba Dinamik pernah digantung dagangan selama enam bulan pada Oktober 2021 kerana syarikat tidak mematuhi arahan Bursa Malaysia. - DagangNews.com