KUALA LUMPUR 12 Sept - Kemelut dalam pelaksanaan 5G di negara ini dijangka berakhir tidak lama lagi memandangkan penjualan ekuiti dan perjanjian borong dengan Digital Nasional Bhd. (DNB) sedang dimuktamadkan ketika ini.
Bagaimanapun, penganalisis RHB Research, Jeffrey Tan masih mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor telekomunikasi (telco) dengan risiko penurunan bergantung kepada penyelesaian isu 5G dan persaingan sengit dalam industri.
"Kebuntuan dalam pelaksanaan 5G negara mungkin akan berakhir tidak lama lagi. Ini berdasarkan kepada kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 2 September lalu, bahawa proses penjualan ekuiti membabitkan empat telco dijangka dimuktamadkan dalam tempoh dua minggu lagi.
"Kenyataan 31 Ogos daripada DNB menekankan bahawa perbincangan dengan kesemua enam syarikat telekomunikasi mengenai perjanjian borong sedang berjalan di landasan yang berasingan dan bebas," katanya dalam nota kajian hari ini.
Menurut Tengku Zafrul, kerajaan memberi tambahan masa selama dua minggu kepada pengendali rangkaian mudah alih (MNO) untuk menandatangani perjanjian langganan saham (SSA) bersama agensi pelaksana rangkaian 5G di Malaysia, DNB.
Tambahan masa yang diberikan itu adalah bermula dari 31 Ogos lalu, iaitu tarikh akhir SSA itu sepatutnya ditandatangani sebelum dilanjutkan selepas dua MNO menarik diri pada saat akhir.
Ketika ini, dua syarikat MNO iaitu Telekom Malaysia Bhd (TM) dan YTL Communications Sdn Bhd (YTL) telah mendapat kelulusan daripada Lembaga Pengarah mereka untuk menandatangani SSA ini.
Sebaliknya, Celcom Axiata Bhd dan Digi.Com Bhd pula memerlukan tambahan masa untuk mendapatkan kelulusan daripada Lembaga Pengarah mengenai cadangan untuk meningkatkan pegangan saham di dalam DNB selepas dua MNO menarik diri daripada SSA. Dua MNO tersebut ialah U Mobile dan Maxis Bhd.
Sementara itu, CGS-CIMB Research dalam nota kajian bertarikh 5 September berkata, situasi 5G yang lebih jelas mungkin dapat dilihat pada bulan ini, memandangkan ulasan terbaharu daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan laporan akhbar, yang boleh menjadi pemangkin penarafan semula untuk sektor telco Malaysia.
Menurutnya, walaupun telco perlu mendaftar pada syarat borong semasa DNB, ia masih akan membantu untuk memberikan kepastian dan menghapuskan kebimbangan terhadap senario yang berpotensi lebih buruk, manakala hasil yang lebih baik boleh membawa kepada peningkatan yang lebih ketara.
"Sehubungan itu, kami mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor ini dengan risiko penurunan bergantung kepada kelewatan dalam penyelesaian 5G.
"Penarafan itu juga telah mengambil kira kesan pendapatan daripada yuran rangkaian borong 5G dalam harga saham syarikat telco, yang setakat ini sudah menurun secara purata sebanyak 19%," katanya. - DagangNews.com








