KUALA LUMPUR 22 Julai - Masalah kekurangan cip dan persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi dijangka mempengaruhi jumlah keseluruhan industri (TIV) kenderaan pada separuh kedua 2022 meskipun Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menyemak naik unjurannya kepada 630,000 unit tahun ini.
Turut menyumbang kepada TIV kenderaan yang lebih lemah dalam sektor automotif dalam tempoh itu termasuklah cadangan kerajaan untuk memperkenalkan program subsidi bersasar, menurut penganalisis CGS-CIMB Research, Mohd Shanaz Noor Azam.
Namun, katanya, keputusan kerajaan membenarkan tempoh penangguhan selama 9 bulan akan memberikan permintaan yang lebih sihat untuk sektor kereta domestik dalam tempoh 3 suku akan datang.
"Kami juga menjangkakan sektor ini akan merekodkan jualan tahun ke tahun dan suku ke suku yang lebih kukuh pada suku kedua ini, dipacu penghantaran TIV yang lebih tinggi.
"Tetapi, prestasi pendapatan syarikat pengeluar kenderaan mungkin sebahagiannya diimbangi dengan perbelanjaan operasi (opex) yang lebih tinggi disebabkan kadar tukaran asing yang tidak menguntungkan dan tekanan kos inflasi daripada kenaikan bahan mentah dan kos buruh," katanya dalam nota kajian hari ini.
Semalam, MAA menyemak semula unjuran TIV kepada 630,000 unit tahun ini, iaitu 30,000 unit lebih tinggi berbanding sasaran awal 600,000 unit yang ditetapkan awal tahun ini.
Presidennya, Datuk Aishah Ahmad berkata, semakan itu bersandarkan kepada jangkaan pemulihan ekonomi Malaysia yang berterusan selepas merekodkan prestasi memberangsangkan pada suku pertama 2022.
Pada separuh pertama, industri automotif negara menjual 331,386 unit, melonjak 33% berbanding 249,178 unit yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu.

Bagi tempoh Januari hingga Jun itu, kenderaan penumpang menyumbang 293,540 unit, manakala baki 37,846 unit lagi disumbangkan oleh kenderaan komersial.
MAA juga mendapati TIV pada Mac adalah tertinggi dalam sejarah automotif tempatan iaitu 73,244 unit, manakala Jun merekodkan jualan bulanan kedua tertinggi sebanyak 63,366 unit susulan keputusan kerajaan menamatkan insentif pengecualian cukai.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 20 Jun lalu mengumumkan tarikh akhir pengecualian cukai jualan kenderaan penumpang kekal pada 30 Jun 2022, namun tempoh pendaftaran kenderaan bagi menikmati insentif pengecualian cukai itu dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023.
Sementara itu, penganalisis MIDF Research, Hafriz Hezry berkata, TIV pada separuh pertama adalah melebihi jangkaannya, menyumbang 58% daripada ramalan TIV 2022 sebelum ini sebanyak 575,000 unit dengan prestasi mengatasi kebanyakan jenama utama.
Beliau menjangkakan momentum akan terus kekal sehingga separuh kedua ini memandangkan pesanan tertunggak yang kukuh yang kini telah meningkat kepada hampir 10 hingga 12 bulan bersamaan TIV.
"Dengan mengambil kira prestasi yang lebih kukuh daripada jangkaan ini, kami menaikkan unjuran TIV bagi 2022 kepada 607,000 unit daripada 575,000 unit sebelumnya, mewakili peningkatan 5.4% daripada unjuran kami.
"Daripada kalangan jenama kereta di bawah liputan kami, Toyota menyaksikan semakan semula lebih tinggi sebanyak 8% diikuti Nissan (4.8%) dan Perodua (1.4%)," katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, unjuran itu sedikit konservatif berbanding MAA kerana sentiasa berhati-hati terhadap kelemahan bekalan yang terputus-putus dan potensi penolakan pendaftaran ke tahun baharu (2023), yang boleh melemahkan angka November hingga Disember ini.
Bagi penarafan sektor automotif, MIDF Research mengekalkan pandangan 'positif' manakala CGS-CIMB pula berpandangan 'neutral'. - DagangNews.com








