Kejuruteraan Asastera pasang sistem solar di Mydin terbesar Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kejuruteraan Asastera pasang sistem solar di Mydin terbesar Malaysia

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 12 April - Kejuruteraan Asastera Bhd. (KAB) menerusi syarikat milik penuhnya, KAB Gree Solar Sdn. Bhd. akan menyelenggara sistem tenaga fotovoltaik solar bersambung grid di atas bumbung tempat letak kereta terbuka Pasar Raya Mydin Tunjong, Kelantan. 

 

Ini menyaksikan KAB menandatangani perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan MyDin Mohamed Holdings Bhd. bagi mereka bentuk, membina, memasang, memiliki dan menjalankan operasi terhadap sistem solar berkenaan.

 

Pengarah Urusan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata, KAB dan Mydin telah bekerjasama dalam hal ini sejak setahun lalu dan perjanjian berkenaan dapat menyokong komitmen Mydin untuk generasi akan datang yang menekankan kepentingan persekitaran operasi mampan.

 

Katanya, kontrak jangka panjang dengan peruncit yang komited itu adalah sejajar dengan strategi kumpulan untuk melibatkan organisasi lain berkongsi nilai yang sama. 

 

"Kumpulan telah membina portfolio tenaga boleh diperbaharui (RE) di Vietnam, Indonesia dan Indonesia, dan kami sentiasa teruja untuk berkembang di negara ini. 

 

"Oleh itu, kami sentiasa mencari peluang untuk bekerjasama dengan organisasi yang berhasrat untuk mengurangkan pelepasan karbon dan kami telah melakukan dengan jayanya bersama syarikat yang berkongsi aspirasi sama dengan kami," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Di bawah fasa pertama PPA itu, KAB akan menyediakan Mydin sehingga 2,041.65 kWp tenaga solar sepanjang tempoh perjanjian. 

 

Mydin dijangka menjana hampir 66 juta kWh penjimatan tenaga dan hampir 38,650 tan setanding karbon dioksida dalam tempoh 21 tahun.

 

Bagi fasa kedua, KAB akan membangunkan lagi 2,064.4 kWp bagi projek yang sama apabila terma dan tempoh pelaksanaan dimuktamadkan.

 

Pada tahun lalu, Mydin telah mengeluarkan surat anugerah kepada KAB untuk melabur dan membangunkan 4,000 kWp sistem solar di atas bumbing bagi penggunaannya sendiri bagi cawangannya di Tunjong, yang merupakan pusat Mydin terbesar di Malaysia, dengan keluasan ruang niaga lebih 1 juta kaki persegi. - DagangNews.com