Kejohanan badminton Perodua Malaysia Masters berlangsung di Axiata Arena mulai 23-28 Mei 2023 | DagangNews Skip to main content

Kejohanan badminton Perodua Malaysia Masters berlangsung di Axiata Arena mulai 23-28 Mei 2023

Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria (empat, kiri) dan Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad (tiga, kanan) bergambar ketika sidang media penganjuran Perodua Malaysia Masters 2023 pada 17 April 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 April - Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Perodua mengumumkan kejohanan badminton Perodua Malaysia Masters 2023 yang berlangsung dari 23 hingga 28 Mei 2023 di Axiata Arena, Bukit Jalil.

 

Sebagai acara Super 500 di Litar Jelajah Dunia BWF, kejohanan itu merupakan salah satu acara badminton terbesar Malaysia, yang mana lebih 300 atlet elit dari seluruh dunia dijangka bersaing untuk merebut hadiah sebanyak AS$420,000.

 

Kejohanan selama 6 hari itu juga menampilkan pemain terbaik Malaysia seperti Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Pearly Tan, Thinaah Muralitharan, dan ramai lagi.

 

Presiden BAM, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria berkata, kejohanan itu akan menjadi sebahagian daripada laluan kelayakan ke Olimpik Paris 2024, menjadikannya acara penting untuk semua atlet yang mengambil bahagian. 

 

"Kami menjangkakan tahap persaingan yang lebih tinggi kerana atlet berhasrat untuk memenangi kejohanan dan memastikan kelayakan ke Sukan Olimpik tahun depan," katanya dalam kenyataan.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad pula berkata, pihaknya berbangga dengan kerjasama yang telah lama terjalin dengan BAM, yang membantu memartabatkan sukan badminton di negara ini melalui Perodua Malaysia Masters. 

 

"Kami terus komited untuk menambah baik pengalaman peminat dan terus mencari jalan baharu serta menarik bagi memajukan sukan badminton," katanya.

 

 

bam

 

 

Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia melahirkan rasa terujanya mengenai kejohanan yang akan datang dengan menyifatkan sokongan berterusan BAM dan Perodua terhadap badminton di Malaysia membolehkan sukan ini berkembang dengan pesat. 

 

"Saya percaya Perodua Malaysia Masters 2023 akan menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan, terutamanya untuk peminat dan atlet. kerana ia menandakan permulaan musim kelayakan Olimpik," katanya.

 

 

bam

 

 

Tiket untuk Perodua Malaysia Masters akan tersedia untuk pembelian tidak lama lagi di www.ticket2u.com.my. 

 

Peminat digalakkan untuk membeli lebih awal dengan mengikuti Perodua di Facebook (https://www.facebook.com/Perodua) untuk maklumat terkini tentang kejohanan akan datang dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat. - DagangNews.com