Kebolehpercayaan MSPO sering dipandang dingin - Zuraida | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kebolehpercayaan MSPO sering dipandang dingin - Zuraida

KUALA LUMPUR 4 Jun - Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, hari ini walaupun terdapat sedikit peningkatan dalam kesedaran oleh Kesatuan Eropah mengenai kemampanan minyak sawit dan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO), namun pemahaman mengenai metrik mahupun pencapaiannya masih belum mencukupi. 

 

Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) setakat 30 Jun 2020, sebanyak 3,040 ladang atau 96.04% yang terdiri daripada 4,064,895 hektar tanah tanaman telah memperoleh sijil MSPO manakala sebanyak 400 kilang minyak atau 88.5% berjaya mendapatkan sijil MSPO.

 

"Kebolehpercayaan standard MSPO ini sering dipandang dingin dek kerana sikap pilih kasih blok ekonomi itu terhadap pensijilan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO),” katanya dalam satu artikel bertajuk "MSPO: Usaha kerajaan untuk menjamin kemampanan masa depan industri sawit negara". 

 

Piawaian MSPO juga telah diselaraskan dengan pengurusan pengeluaran minyak sawit yang menggunakan undang-undang dan peraturan negara sedia ada.

 

Dalam konteks kelestarian minyak sawit, jenis skim sama yang telah dilaksanakan ialah RSPO dan Minyak Sawit Lestari Indonesia (ISPO).

 

Secara ringkasnya, pensijilan MSPO menekankan pengurusan mampan dan bertanggungjawab yang boleh memberi impak sosial, alam sekitar dan ekonomi yang positif sambil meminimumkan kesan negatif, khususnya ke atas manusia dan alam sekitar.

 

RSPO dibangunkan oleh satu pasukan antarabangsa yang merangkumi pengeluar minyak sawit, peniaga, pelabur dan organisasi bukan berasaskan keuntungan pada tahun 2004 – lebih sedekad sebelum MSPO.

 

 

zuraida
Datuk Zuraida Kamaruddin

 

 

RSPO mempunyai pelbagai kumpulan bukan berasaskan keuntungan dan pemegang kepentingan yang menyatukan tujuh sektor industri minyak sawit dalam satu dialog tetap termasuk pelabur, penanam, peruncit dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggunakan sistem pengundian secara konsensus untuk membangunkan standard dan kriteria secara berterusan.

 

Setakat ini, 20% daripada minyak sawit dunia mempunyai pensijilan RSPO.

 

Sebagai perintis pensijilan, RSPO dipuji kerana menggalakkan pertumbuhan dan penggunaan minyak sawit yang mampan. Tidak boleh dinafikan bahawa apabila penanaman dilakukan dengan bertanggungjawab, penghasilan minyak sawit adalah sangat efisien dengan penggunaan tanah yang optimum.

 

Dibandingkan dengan tanaman utama lain seperti bunga matahari, kacang soya dan kanola, kelapa sawit menggunakan tanah yang paling sedikit tetapi menghasilkan minyak yang paling banyak.

 

Satu ekar kelapa sawit boleh menghasilkan 11 kali lebih banyak minyak berbanding dengan kacang soya dan 10 kali lebih banyak daripada bunga matahari.

 

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, RSPO juga telah dikritik, terutamanya oleh pertubuhan alam sekitar yang bukan berasaskan keuntungan yang berpendapat bahawa piawaiannya gagal memberikan perlindungan yang mencukupi untuk hutan asli, buruh yang digunakan dalam ladang kelapa sawit atau dalam menangani perlindungan iklim.

 

Menerusi artikel itu Zuraida memetik pengasas NGO antarabangsa Grassroots, Andrew Ng dalam laporannya sebagai berkata:"Konflik baharu dan sedia ada berkaitan hak asasi manusia dan hutan dengan pemegang sijil RSPO menunjukkan bahawa walaupun dengan usaha Jawatankuasa Tetap Jaminan RSPO (ASC),tuntutan untuk minyak sawit mampan masih tidak dipenuhi, menurut Bernama.

 

Hampir 5,000 ahli RSPO ialah beberapa syarikat multinasional terbesar di dunia seperti Unilever, Procter & Gamble, Kellogg’s dan Johnson & Johnson. - DagangNews.com