Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 14 Sept. - Tiada jaminan CEKD Berhad bakal terus menerima tempahan daripada pelanggan pada masa akan datang, ramal penganalisis di TA Securities, Wilson Loo.
Jelas Loo, ini berikutan CEKD tidak mempunyai kontrak berjangka panjang dengan pelanggannya, dan kebiasaannya menerima tempahan secara mingguan atau bulanan.
Beliau memberi amaran bahawa sekiranya kumpulan gagal untuk meraih tempahan daripada pelanggan utamanya, ini akan menjejaskan prestasi kewangan CEKD.
“Pandemik COVID-19 mungkin mendatangkan impak material ke atas operasi dan prestasi kewangan CEKD. Pertamanya, penularan dalam kalangan tenaga kerjanya dan kuarantin akan menjejaskan pengeluaran dan kecekapan kumpulan.
“Kedua, prosedur operasi ketat yang wajib akan meningkatkan kos operasi. Akhir sekali, impak pandemik ke atas pelanggan kumpulan dan ekonomi mungkin mendorong kepada permintaan lebih rendah terhadap produknya, sementara pembekal yang berdepan operasi terjejas berkemungkinan menyebabkan kekurangan bahan mentah,” ujar Loo dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, CEKD menyasarkan untuk menjana RM24.28 juta daripada tawaran awam awal (IPO) yang melibatkan terbitan awam sebanyak 50.59 juta saham baharu pada harga terbitan RM0.48 sen sesaham.
Loo yang memetik kajian penyelidikan pasaran IPO, Protégé Associates mengunjurkan industri pembuatan alatan rumusan pemotongan acuan, yang turut merangkumi CEKD bakal berkembang 3.2% dari segi kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) daripada RM216.5 juta pada 2019 kepada RM261.0 juta pada 2025.
Tambah Loo, penularan COVID-19 pada tahun 2020 telah melemahkan sentimen pengguna seterusnya mengganggu operasi dan rantaian bekalan, sekali gus menyaksikan industri tersebut di Malaysia menguncup 8.7% kepada RM197.7 juta.
Namun, dalam masa terdekat ini, Loo mengunjurkan pemulihan global ditambah sekatan pergerakan berkaitan COVID-19 yang dilonggarkan akan menyokong pemulihan industri berkenaan.
Pada tahun kewangan 2021 (FY21), keuntungan bersih utama kumpulan melonjak 13.7% kepada RM4 juta yang dipacu oleh pertumbuhan hasilnya sebanyak 10.5% kepada RM17.7 juta.
“Bermula FY20 hingga FY23, kami mengunjurkan hasil dan keuntungan bersih CEKD akan berkembang dari segi CAGR tiga tahun pada 6.3% dan 8.3%, masing-masing kepada RM31.7 juta dan RM7.7 juta,” jelas Loo lanjut.
Firma itu memperkenalkan harga sasaran (TP) ke atas CEKD pada kadar RM0.53 sesaham. - DagangNews.com