Kawan Food sasar tingkatkan eksport menerusi 2 pelanggan baharu pada suku kedua, kata CGS-CIMB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kawan Food sasar tingkatkan eksport menerusi 2 pelanggan baharu pada suku kedua, kata CGS-CIMB

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Feb - CGS-CIMB Research menjangkakan Kawan Food Bhd akan merekodkan pertumbuhan keuntungan bersih sebanyak 16.1% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) dipacu terutamanya menerusi jualan eksport yang lebih tinggi. 

 

Prestasi lebih baik itu juga didorong penawaran produk baharu dan jumlah pengeluaran yang lebih tinggi dengan kadar penggunaan ketika ini dianggarkan pada 40%. 

 

Menurut firma itu, Kawan Food menyasarkan untuk memperoleh tambahan 400 pekerja baharu pada separuh pertama 2023, yang akan menyaksikan tenaga kerjanya meningkat sebanyak 30%.

 

Katanya, penyertaan pekerja baharu itu akan membantu meningkatkan jumlah pengeluaran yang lebih tinggi dan kecekapan lebih baik kerana kurang menggunakan pekerja kontrak.

 

"Selain itu, kumpulan turut menyasarkan untuk memperoleh dua pelanggan eksport baharu yang besar pada suku kedua ini, setelah tertangguh sejak suku keempat 2022. 

 

"Kami dapati Kawan Food telah pun menghantar sampel produk dan kedua-dua pelanggan itu sedang menjalani ujian produk (dijangka selesai menjelang akhir suku pertama ini). 

 

"Oleh itu, kami menjangkakan penghantaran pesanan sulung kepada kedua-dua pelanggan ini menjelang suku kedua ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Untung bersih Kawan Food pada suku keempat susut kepada RM8.66 juta daripada RM9.56 juta manakala pendapatan meningkat kepada RM72.36 juta daripada RM67.38 juta. 

 

Bagaimanapun, keuntungan bersih teras bagi FY22 sebanyak RM36 juta adalah di bawah unjuran CGS-CIMB disebabkan jualan eksport yang lebih lemah daripada jangkaan dan lonjakan dalam perbelanjaan pengedaran.

 

Berikutan prestasi yang tidak memenuhi jangkaan, firma itu mengurangkan pendapatan sesaham (EPS) bagi FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak 6.8% dan 6.9%. 

 

Namun, ia mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran lebih rendah pada RM2.64 daripada RM2.82 sesaham.

 

Setakat 11.55 tengah hari, harga sahamnya susut 4 sen atau 1.8% kepada RM2.18 dengan 23,800 saham diniagakan. - DagangNews.com