Karnival Seni Mempertahankan Diri AKM Perlis tarik perhatian, diteruskan di negeri lain | DagangNews Skip to main content

Karnival Seni Mempertahankan Diri AKM Perlis tarik perhatian, diteruskan di negeri lain

Athachai Kiang yang menyertai kategori berat 63.5 hingga 67 kilogram bagi acara Muay memenangi Piala Majlis Sukan Wilayah Persekutuan.
Oleh MOHAMAD IMAN

KANGAR 27 Mac - Karnival Seni Mempertahankan Diri yang julung kali diadakan sempena program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 2022 Perlis mendapat sambutan cukup luar biasa.

 

Ekoran itu, karnival seni mempertahankan diri itu akan diteruskan di dalam program AKM di negeri-negeri lain selepas ini.

 

Program anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) itu berjaya mengumpul lebih 200 penyertaan membabitkan atlet dari Wilayah Persekutuan, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang melibatkan dua kategori iaitu pencak silat dan muay.

 

 

AKM

 

 

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Sosio Ekonomi) kementerian tersebut, Datuk Parang Abai@Thomas berkata, pertandingan tersebut diadakan sebagai persiapan terutama kepada negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan menyertai pertandingan Sukan Malaysia (Sukma) tidak lama lagi.

 

Katanya, sambutan agak mengalakkan dan pihaknya akan membawa pengurusan sukan itu bagi mengerakkan acara tersebut di program AKM di negeri-negeri lain.

 

“Selepas ini, pertandingan sama juga akan diadakan di Wilayah Persekutuan dan juga negeri-negeri lain. 

 

"Saya lihat sambutan orang ramai dan rakyat Perlis terutamanya sangat mengalakkan sejak hari pertama sehingga hari terakhir AKM hari ini.

 

“Oleh itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang datang dan memberi sokongan kepada program ini,” katanya.

 

 

AKM
Wilayah Persekutuan muncul juara bagi kategori pencak silat dengan mengumpul keseluruhan 13 pingat.

 

 

Sementara itu, beliau berkata, pertandingan tersebut juga diharapkan dapat menarik minat anak-anak muda untuk terlibat dalam aktiviti mempertahankan diri ini.

 

“Semasa pertandingan, kita menerima maklum balas daripada persatuan-persatuan di negeri ini mengenai kekurangan daripada segi peralatan dan persiapan. 

 

“Jadi, masalah tersebut akan diambil kira supaya dapat membantu mempersiapkan persatuan-persatuan inibuntuk lebih bersedia dengan pertandingan,” ujarnya.

 

Dalam pada itu, Wilayah Persekutuan muncul juara bagi kategori pencak silat dengan mengumpul keseluruhan 13 pingat diikuti Perlis (12 pingat), Kedah (10 pingat) dan Pulau Pinang (9 pingat).

 

Bagi acara Muay pula, Athachai Kiang dari Perlis yang menyertai kategori berat 63.5 hingga 67 kilogram memenangi Piala Majlis Sukan Wilayah Persekutuan.

 

Sebanyak 9 kategori lelaki dan 5 kategori perempuan dipertandingankan bagi acara Muay, manakala 8 kategori Putera dan enam kategori Puteri dipertandingankan dalam kejohanan Pencak Silat. - DagangNews.com