Karnival Kerjaya Jamin Kerja tawar lebih 1,000 peluang pekerjaan sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Perlis | DagangNews Skip to main content

Karnival Kerjaya Jamin Kerja tawar lebih 1,000 peluang pekerjaan sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Perlis

KANGAR 24 Mac - Lebih 1,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi Karnival Kerjaya Jamin Kerja yang akan berlangsung selama dua hari bermula Jumaat ini sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini.

 

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Perlis, Basharudin Khalid berkata, kerjaya yang ditawarkan menerusi program itu merangkumi pekerjaan dalam perkhidmatan awam dan swasta, termasuk dalam sektor industri pembuatan, perdagangan, pemborongan, peruncitan dan juga perhotelan.

 

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya telah menerima pengesahan penyertaan daripada 20 majikan, dengan 90% daripada mereka adalah majikan dari negeri-negeri di utara semenanjung.

 

“Ada juga majikan dari Selangor seperti Perbadanan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Malaysia Short-term Employment Programme (MYSTEP), Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) Sdn Bhd dan beberapa lagi,” katanya kepada Bernama semalam.

 

Program AKM yang bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu dijangka akan dihadiri sekitar 10,000 pengunjung dan turut menyediakan pelbagai aktiviti serta program menarik, dengan salah satunya melibatkan Karnival Kerjaya Jamin Kerja.

 

 

AKM

 

 

Basharudin berkata, pihaknya menjangka sekitar 1,500 pencari kerja dari negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang akan mengikuti karnival berkenaan. - DagangNews.com