KAF Investment Bank lantik Rafiza Ghazali sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Digitalnya | DagangNews Skip to main content

KAF Investment Bank lantik Rafiza Ghazali sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Digitalnya

Rafiza Ghazali

KUALA LUMPUR 24 Mei - KAF Investment Bank Berhad melantik Rafiza Ghazali sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi menerajui Bank Islam Digitalnya.

 

Kumpulan perkhidmatan kewangan Malaysia itu berkata, Rafiza pada mulanya akan menyertai KAF Investment Bank sebagai sebahagian daripada pasukan projek bank islam digital sementara menunggu proses perbadanan entiti bank digital itu.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Thariq Usman Ahmad berkata, bank itu berbesar hati kerana Rafiza mengetuai pasukan kepimpinan perbankan digitalnya memandangkan beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam kedua-dua sektor swasta dan awam.

 

“Beliau yang mempunyai asas yang luas dalam perbankan serta penglibatannya dalam inovasi, terutamanya dengan komuniti teknologi kewangan Malaysia, akan menjadi aset besar dalam membina platform perkongsian perbankan digital KAF,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Rafiza mempunyai pengalaman merentasi industri kewangan daripada Pengurusan Danaharta Nasional Bhd kepada RHB Investment Bank Berhad dan beliau menyelia teknologi maklumat, operasi pelaburan, perancangan korporat, kewangan serta penyelesaian perbendaharaan.

 

BACA JUGA: Rafiza Ghazali letak jawatan CEO Cradle

 

Rafiza juga pernah berkhidmat dengan Bank Negara Malaysia, Thomson Reuters dan Cagamas Bhd sebelum memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle Fund Sdn. Bhd. 

 

Beliau memainkan peranan penting dalam menerajui transformasinya menjadi pembina ekosistem pemula niaga dan agensi yang bertanggungjawab mengurus pembangunan Pelan Hala Tuju Ekosistem Pemula Niaga Malaysia. - DagangNews.com