Kadar vaksinasi, Omicron masih lagi mempengaruhi sentimen perjalanan antarabangsa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kadar vaksinasi, Omicron masih lagi mempengaruhi sentimen perjalanan antarabangsa

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Mac - Pemulihan perjalanan antarabangsa dilihat akan memberi impak yang lebih besar sekiranya beberapa negara utama di ASEAN turut membuka sempadan masing-masing.

 

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sempadan negara akan dibuka bermula 1 April ini sejajar dengan peralihan Malaysia kepada fasa endemik.

 

Keputusan itu dibuat berdasarkan 3 perkara asas iaitu panduan sains dan fakta terkini berkaitan COVID-19, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara lain dan memberikan keselesaan kepada pengembara.

 

Meskipun menyambut baik keputusan tersebut, tetapi MIDF Research menjangkakan pemulihan perjalanan antarabangsa merentasi rantau ini akan lebih bermakna pada separuh kedua 2022 sementara menantikan beberapa negara turut mengikut jejak yang sama. 

 

Menurutnya, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menjangkakan pergerakan penumpang akan mencecah 32.6 hingga 49 juta atau kira-kira 30 hingga 45% daripada paras sebelum pandemik pada 2022, yang akan dipacu menerusi penerbangan domestik dan pasaran ASEAN.

 

"Pada masa sama, terdapat juga kemungkinan orang ramai mungkin masih ragu-ragu dengan idea melancong ke luar negara di tengah-tengah gelombang Omicron kerana keselamatan tetap menjadi keutamaan.

 

"Di samping itu, tambang tiket juga lebih mahal buat sementara waktu dengan pengenalan semula surcaj bahan api oleh syarikat penerbangan tertentu memandangkan kenaikan harga bahan api jet," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor penerbangan berikutan pembukaan semula sempadan negara.

 

 

airasia

 

 

Pada 5 Mac lalu, AirAsia Malaysia mengumumkan akan mengenakan semula surcaj bahan api mulai 8 Mac 2022 bagi semua penerbangan domestik dan antarabangsanya.

 

Pengenalan semula surcaj bahan api oleh AirAsia adalah untuk mengimbangi kenaikan harga bahan api yang telah melepasi AS$120 setong.

 

 

Baca : Sempadan negara dibuka 1 April 2022 - PM

 

 

Sementara itu, Public Investment Bank Research berkata, pembukaan semula sempadan akan membantu memulihkan sektor pelancongan yang telah menanggung beban pandemik walaupun pemulihan berlaku secara beransur-ansur memandangkan penduduk ASEAN hanya dijangka diberi vaksin sepenuhnya menjelang 2023.

 

Ketika ini, katanya, liputan vaksinasi penduduk global hanya akan mencapai 70% menjelang pertengahan tahun ini meskipun suntikan penggalak mungkin mengambil sedikit masa untuk mencapai tahap yang selesa.

 

Menurutnya, keperluan ketat kepada mereka yang kembali dan memasuki Malaysia juga boleh menjadi penghalang memandangkan kos yang tinggi untuk menjalani ujian COVID-19 (contohnya, PCR, RTK) apatah lagi tahap kes harian yang masih tinggi.

 

"Namun begitu, pembukaan sempadan dapat menangani isu utama seperti masalah kekurangan buruh yang dihadapi sektor pembuatan dan perladangan, yang telah menjadi halangan untuk pemulihan sepenuhnya," jelasnya. 

 

Pada masa sama, firma itu berkata, peralihan kepada fasa endemik juga memberi petanda kepada kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan fiskal.

 

"Ini dapat menjadi pemacu untuk mengurangkan lagi kadar pengangguran, dengan sasaran ketika ini pada 4% bagi tahun ini.

 

"Bagaimanapun, kami berhati-hati dengan prospek dalam tempoh terdekat dengan mengambil kira krisis Rusia-Ukraine, justeru, mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2022 pada 6.1%," katanya. 

 

 

mahb

 

 

CGS-CIMB Research pula berkata, pemansuhan keperluan kuarantin akan memudahkan perjalanan 2 hala yang agak tidak menyusahkan dengan negara lain yang telah memansuhkan keperluan kuarantin yang sama, termasuk Thailand, Filipina, Kemboja, Australia, India, United Kingdom dan Arab Saudi, yang merupakan antara beberapa pasaran yang lebih penting kepada Malaysia. 

 

"Oleh itu, kami menjangkakan syarikat penerbangan akan melancarkan lebih banyak penerbangan ke/dari destinasi tersebut untuk mengambil kesempatan daripada sebarang permintaan perjalanan baharu yang muncul apabila Malaysia melonggarkan sekatan perjalanan masuk," jelasnya. 

 

Firma itu mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor penerbangan dengan pilihan utamanya ialah Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), yang mungkin menyaksikan jumlah pengembara antarabangsa yang lebih tinggi. 

 

Sementara itu, Capital A Bhd. (dulu AirAsia Group Bhd.) juga akan meraih manfaat dengan pembukaan sempadan ini, tetapi mungkin digunakan oleh harga bahan api jet yang tinggi dan persaingan yang semakin sengit. - DagangNews.com