Kadar cukai perkhidmatan 8% beri kesan minimum kepada kedai nombor ekor – Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kadar cukai perkhidmatan 8% beri kesan minimum kepada kedai nombor ekor – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Okt - Kenaikan cukai perkhidmatan kepada 8% yang berkuat kuasa pada 1 Mac 2024 beri kesan minimum kepada pengendali ramalan nombor (NFO) iaitu Magnum Berhad dan Sports Toto Berhad memandangkan impak negatif mungkin disederhanakan oleh pengurangan pembayaran hadiah.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata terdapat sebab untuk percaya bahawa akan ada lebih banyak tindakan penguatkuasaan terhadap NFO haram.

 

Firma penyelidikan itu menjelaskan bahawa salah satu cukai yang dibayar oleh NFO ialah cukai perkhidmatan, di mana mereka menanggung cukai terbabit untuk penjudi.

 

“Bagi NFO, cukai perkhidmatan pada masa ini dikira sebagai (jualan kasar - cukai permainan -pembayaran hadiah) digandakan dengan 6 per 106.

 

“Oleh itu, kenaikan kadar cukai perkhidmatan sebanyak 2 mata peratusan secara berkesan merupakan kenaikan 'cukai permainan’,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Berikutan kenaikan cukai tersebut, Maybank IB menurunkan unjuran pendapatan Magnum bagi tahun kewangan 2024 dan 2025 (FY24/FY25) masing-masing hanya pada 4% dan 5%.

 

Sementara itu, unjuran pendapatan Sports Toto pada FY24 hingga FY26 masing-masing dikurangkan sebanyak 4%, 7% dan 7%.

 

“Selain itu, kami menganggarkan bahawa sekiranya NFO mengurangkan jumlah Hadiah Saguhati Kecil 4D yang membayar RM60 setiap pertaruhan RM1 kepada 9 daripada 10, impak negatif kenaikan cukai tidak berkesan,” tambahnya.

 

Mengulas mengenai penguatkuasaan terhadap NFO haram, Maybank IB menjelaskan bahawa anggaran pendapatan firma adalah berdasarkan jualan kasar/cabutan/cawangan NFO yang stabil pada 75% (Magnum) dan 85% (Sports Toto) daripada tahap FY19.

 

Firma itu menambah bahawa kenyataan Perdana Menteri bahawa lebih banyak tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap penyeludup minuman beralkohol membayangkan perkara yang sama akan dilakukan terhadap NFO haram juga.

 

“Oleh itu, mungkin terdapat potensi peningkatan pada anggaran pendapatan kami sekiranya pihak berkuasa berjaya membendung NFO haram. Kami mengekalkan ramalan jualan kasar /cabutan/cawangan NFO kami buat masa ini,” katanya. - DagangNews.com