Kadar baharu caj perkhidmatan penumpang tidak cukup buat MAHB biayai rancangan perbelanjaan modal - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Kadar baharu caj perkhidmatan penumpang tidak cukup buat MAHB biayai rancangan perbelanjaan modal - Kenanga Research

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 3 April - Perubahan caj perkhidmatan penumpang (PSC) yang diumum kerajaan baru-baru ini mungkin tidak mencukupi buat Malaysia Airports Holdings Berhad (Malaysia Airports) untuk membiayai rancangan perbelanjaan modal (capex) yang lebih agresif.

 

Kenanga Research berkata, bagaimanapun kadar baharu PSC untuk Tempoh Kawal Selia Pertama (RP1) bermula dari 1 Jun 2024 itu tetap memberi pendapatan yang positif kepada Malaysia Airports.

 

"Kami positif dengan perkembangan terbaharu ini yang dijangka memberi pendapatan positif kepada Maalaysia Airports tetapi mungkin tidak mencukupi untuk membiayai rancangan belanja modal yang lebih agresif," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Tambah firma penyelidikan itu, pemulihan berterusan trafik udara akan dapat disaksikan pada tahun ini yang sekali gus memanfaatkan Malaysia Airports.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Standard servis di KLIA diharap lebih tinggi seiring dengan kenaikan caj lapangan terbang - Batik Air

 

Katanya, ketibaan pelancong diunjurkan sebanyak 27 juta pada 2024, meningkat 35% daripada 20 juta pada 2023 dan melepasi 26.1 juta pada 2019 sebelum wabak.

 

"Ini disokong oleh permintaan yang lebih tinggi untuk perjalanan udara bagi tujuan perniagaan mahu pun melancong. 

 

"Jumlah itu konsisten dengan sasaran Tourism Malaysia sebanyak 27.3 juta," jelasnya.

 

 

sichuan
KLIA terus menerima ketibaan penerbangan laluan baharu dari China antaranya Chengdu (Sichuan Airlines) dan Shenzen (China Southern Airlines). Gambar MAHB

 

Ujar Kenanga Research, pemacu utama peningkatan trafik udara ialah pelancong China yang dari segi sejarah menyumbang kepada kira-kira 12% daripada jumlah ketibaan pelancong di Malaysia. 

 

"Turut membantu, ialah dasar pengecualian visa selama 30 hari untuk pelancong China dan India ke Malaysia bermula dari Disember 2023.

 

"Ini sepatutnya memacu pertumbuhan dalam kapasiti penumpang Malaysia Airports dan permintaan penumpang Capital A dalam CY24," ujarnya.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan Neutral terhadap sektor penerbangan.- DagangNews.com